Monday, July 11, 2011

AMALAN ISLAM YANG DILUPAKAN

Posted by lianazulak On 7:45 AM 3 comments

Islam itu asing dan akan kembali asing. Islam itu datangnya membawa perbezaan dan kalau Islam itu diamalkan kembali, ia juga akan membawa perbezaan. Islam itu lain daripada yang lain. Ketika awalnya dahulu, Islam itu terpinggir, jauh tersisih dari cara hidup orang-orang Arab jahiliah. Di akhir zaman ia juga terpinggir. Cara hidup Islam yang sejati jauh tersisih dari cara hidup umat Islam di zaman jahiliah moden ini.


Al-Quran itu dinamakan juga Al Furqan atau "yang membezakan". Siapa yang mengamalkan Al Quran, maka cara hidupnya akan berbeza dengan orang yang tidak mengamalkan Al Quran. Siapa yang banyak meninggalkan ajaran Al Quran, maka Islamnya tidak syumul. Hari ini, sendi-sendi kehidupan umat Islam sudah terlalu banyak yang rosak. Sudah tidak kelihatan lagi ciri-ciri dan amalan Islam di dalam kehidupan umat Islam. amalan-amalan Islam banyak yang telah dilupakan dan ditinggalkan. Ia telah digantikan dengan amalan-amalan yang ditiru, diciduk dan dijiplak dari amalan para penjajah, orang-orang Barat, Yahudi dan Nasrani.


Di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, kalau diibaratkan ilmu Islam itu ada sepuluh, amalan umat Islam ketika itu juga ada sepuluh. Oleh kerana itu, ketika itu Islam syumul dan terlaksana di semua bidang kehidupan. Pada zaman selepas tabit tabiin, ilmu Islam tetap ada sepuluh tetapi amalannya sudah berkurang menjadi sembilan. Ketika itu, Islam masih kelihatan syumul. Pada zaman tiga ratus tahun hingga tujuh ratus tahun umur Islam, yaitu di saat imperium Islam masih wujud, amalan Islam terus berkurang walaupun ilmunya tetap sepuluh.


Pada era setelah tujuh ratus tahun hingga sekarang ini, yaitu di saat imperium Islam telah runtuh dan umat Islam mulai dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, amalan dan cara hidup Islam semakin banyak ditinggalkan dan diganti dengan amalan-amalan dan cara hidup penjajah. Sekarang ini, tidak salah kalau kita anggarkan bahwa perbandingan amalan Islam hanya tinggal satu walaupun ilmunya tetap sepuluh, sama seperti di zaman Rasulullah SAW dahulu. Ilmu Islam tidak rusak. Ilmu Islam tidak berkurang. Ilmu Islam tidak susut. Yang menjadi kurang, rusak dan susut ialah amalannya yang sudah banyak ditinggalkan dan dilupakan oleh umat Islam. Maka terbuktilah kebenaran firman Allah yang berbunyi:


"Dan sekali-kali tidak akan redha kaum Yahudi dan Nasrani itu kepada engkau ya Muhammad selagi kamu tidak mengikut cara hidup mereka."
(Surah Al-Baqarah: 120)

Amalan yang tinggal di waktu ini hanyalah apa yang termaktub di dalam rukun Islam. Itu pun karena ia dijadikan rukun. Kalau tidak, mungkin amalan-amalan tersebut dilupakan juga. Amalan-amalan yang menjadi rukun ini, kalau tidak diyakini dan diamalkan, maka akan mempengaruhi keimanan. Kerana itulah, masih ada umat Islam yang sholat walaupun banyak yang sudah meninggalkan solat atau tidak tahu bagaimana hendak solat. Masih ada umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan. Masih ada umat Islam yang membayar zakat dan masih ada yang menunaikan haji. Amalan-amalan lain yang tidak merupakan rukun, hampir lenyap ditelan zaman.


Itulah sebab Islam tidak syumul lagi di zaman ini. Itulah sebab orang Islam tidak banyak bezanya dengan orang bukan Islam baik lahir maupun batinnya. Itulah sebab umat Islam sudah hilang identiti mereka. Kecantikan dan keindahan Islam sudah tidak dapat dilihat lagi. Keselamatan dan kesejahteraan yang dijanjikan oleh Islam tidak dapat dirasakan lagi. Umat Islam berpecah-belah. Akhlak dan moral umat Islam runtuh menyapu bumi. Masyarakat umat Islam kucar-kacir. Ekonomi umat Islam mundur. Umat Islam juga sudah tidak dihormati dan disegani tetapi justru dikeji dan dihina di seluruh dunia. Kebanyakan umat Islam hari ini hanya Islam pada keyakinan tetapi tidak Islam pada amalan. Lain yang diyakini, lain pula yang diamalkan. Mereka mengaku Islam tetapi cara hidup, cara berfikir dan cara menilai sangat kebarat-baratan.


Bila dikembalikan semula amalan-amalan Islam yang telah ditinggalkan dan dilupakan, masyarakat menjadi huru hara. Banyak mata yang terbuka lebar. Banyak yang terkejut. Banyak yang terpekik terlolong menuduh sesat. Sedih. Umat Islam sendiri sudah tidak kenal Islam. Islam hanya tinggal rukun. Islam pada mereka hanya solat, puasa, zakat dan haji. Umat Islam sudah lupa berpakaian cara Islam. Mereka sudah lupa itu apa aurat. Mereka sudah lupa makan minum dan bergaul secara Islam. Mereka sudah lupa berekonomi, menjalankan pelajaran dan pendidikan, berkebudayaan, bermasyarakat dan berpolitik secara Islam. Mereka sudah lupa bersahabat dan bertetangga secara Islam. Mereka sudah lupa berhibur secara Islam. Mereka sudah lupa tentang batas-batas yang ditetapkan oleh Islam.


Apabila ditonjolkan pakaian secara Islam yang menutup aurat, mereka terkejut. Pakaian sunnah berserban mereka tidak tahu. Makan cara Islam di dalam talam, makan bergaram dan duduk bersimpuh, mereka merasa aneh. Pada masa yang sama, mereka memandang amalan poligami itu hina padahal itu adalah satu amalan yang mulia dan merupakan sebagian dari syariat Islam dan menjadi amalan Rasulullah. Bahkan poligami adalah tradisi bagi orang-orang soleh. Mereka tidak memandang salah atau hina bila muda mudi bergaul bebas atau berjalan berdua-duaan ke sana ke mari. Narkotik, arak, zina dan judi yang berlaku di tengah-tengah masyarakat dipandang ringan dan dianggap sebagai perkara biasa atau sebagai masalah individu yang orang lain tidak perlu ikut campur. Itu belum lagi berbicara tentang berekonomi secara Islam yang menentang penindasan, riba, monopoli dan pembaziran yang sangat berbeda dengan sistem kapitalis yang diamalkan yang hanya mementingkan untung berlipat ganda tanpa mengira halal atau haram. Ataupun soal pelajaran dan pendidikan Islam yang membawa manusia kepada Tuhan dan bukan kepada kebendaan. Atau soal kebudayaan Islam yang membawa kesadaran dan membina kehalusan akhlak manusia dan bukan yang melalaikan, merusakkan akidah, akhlak, moral dan yang menggalakkan pergaulan bebas muda mudi dan penggunaan narkotik. Sistem sosial Islam yang berkasih sayang, bertolong bantu, kuat menguatkan, bersatu padu dan penuh dengan kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan dan bukan sistem sosial yang menindas dan menekan, hidup nafsi-nafsi, yang kuat timbul yang lemah tenggelam seperti kehidupan hewan di belantara atau seperti pohon di hutan yang berebut meninggikan pucuk masing-masing untuk mendapatkan cahaya matahari. Dan juga sistem pentadbiran Islam yang menyatu-padukan umat, yang adil, yang bebas dari krisis, pilih kasih dan perebutan kuasa, yang melagangkan ketuhanan dan bukan ideologi ciptaan manusia dan yang mementingkan pembangunan insan dan rohaniah lebih dari pembangunan material. Sudah begitu jauh cara hidup umat Islam kini dari cara hidup Islam yang sebenar. Cara hidup musuh dianggap Islam, cara hidup Islam dimomok dan dikatakan ketinggalan zaman.


Untuk menebus kembali harga diri umat Islam yang sudah punah ini, untuk membawa Islam kembali gemilang dan untuk menjadikan umat Islam ini pewaris bagi bumi Allah ini, maka kita perlu tingkatkan amalan Islam kita. Kita perlu hidupkan kembali segala amalan-amalan Islam yang telah lama kita tinggalkan dan kita lupakan. Umat Islam perlu kembali kepada amalan Islam yang sejati. Kalaulah amalan Islam kita pada hari ini diibaratkan hanya satu dari sepuluh ilmu Islam yang ada, marilah kita tingkatkan amalan kita itu menjadi dua, tiga, empat, lima dan seterusnya sejauh yang kita mampu. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal. Kalau tidak ada ketiga perkara ini, Islam tidak akan terlaksana. Islam akan hanya menjadi seperti benih yang belum ditanam. Pohonnya tidak ada. Kalau pohon Islam tidak ada, bagaimana mungkin kita dapat menikmati buahnya yang enak, lezat, dan manis.Dengan ketiga-tiga perkara ini juga yaitu iman, ilmu dan amal, Islam kita akan bertambah syumul dan bertambah syumul. Di atas kesyumulan inilah letaknya kasih sayang Tuhan. Di atas kesyumulan inilah letaknya nikmat, rahmat dan keampunan Tuhan.
~Mari kita amalkan 10 Ciri-Ciri Fardhu Muslim dalam kehidupan kita~

3 comments:

Hi. I like your 10 Muwasafat Tarbiyyah picture. How can I save it to my computer?

tq :)

just click at the picture,
then right click
and click 'save image as...'to save it inside your computer..

You also can share it with your friends..~Sharing is Caring~

aslmkm..mcmna sy nak hubungi pemilik blog ini bg mmbncng beberapa perkara..
saya tinggalkan email sy agar nnti mudah u berbincng basheerhidayat@yahoo.com