Tuesday, January 25, 2011

Siapakah Wanita Berpurdah itu?

Posted by lianazulak On 10:16 AM


Kisah teladan.
Suatu kisah...Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.
Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.
"Adakah wanita itu orang gila?"Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.
Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh," kata wanita itu lagi.


"Namaku DUNIA. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku, sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.

Tiupan Sangkakala?

Posted by lianazulak On 9:56 AM

 
Bayangkan bagi hatimu wahai yang terpedaya,
hari kiamat dan segala isinya bergegar.

Sungguh digulung matahari siang dan dilipat gandakan,
panasnya atas kepala hamba menggelegak.

Apabila gunung-ganang tercabut dari tempatnya,
lalu kamu melihatnya berjalan seperti awan.


Apabila bintang-bintang berguguran dan bertaburan,
dan setelah cahaya bertukar menjadi keruh.

Apabila unta-unta bunting terbiar dari tuannya,
rumah-rumah kosong tidak ada penghuninya.

Apabila binatang-binatang liar dihimpun pada hari kiamat,
dan berkata kepada malaikat kemana kami berjalan.

Lalu dikatakan berjalanlah kamu menyaksikan keaiban,
keajaiban-keajaiban dan perkara-perkara dihadirkan.

Apabila keluar dari perut ibunya,
takutkan hisab dan hatinya ketakutan.

Ini tanpa dosa yang ditakutkan kegawatannya,
bagaimana orang yang mengerjakan dosa sepanjang masa?

Sunday, January 23, 2011

"Dalam Merenung Kita Bermuhasabah"

Posted by lianazulak On 9:16 PM

Dalam hidup ni adakalanya kita terasa terpinggir dan disisihkan...tapi sebenarnya tidak. Kita tidak pernah pun dipinggirkan dalam hidup ini....

Yakin dan Percayalah,                        
Saban waktu pasti ada seseorang mengingati anda sebelum dia tidur...Tak siapa yang tahu, boleh jadi dia itu orang yang anda sayang....tapi mungkin juga orang yang anda tak pernah kenal tapi dia kenal anda...
Kalau anda rasa dipinggirkan....

Yakin dan Percayalah,
Sekurang-kurangnya ada seseorang di dunia ini yang tetap menyayangi anda dan sanggup mati kerana anda walaupun ketika ini anda merasakan tiada sesiapa lagi bersama anda.

Yakin dan Percayalah,
Apabila seseorang itu ada asas agama yang kukuh, hidupnya akan selamat dan berjaya walau di mana saja ia berada...Walau di mana saja ia berada, pasti dia akan dihormati kerana kemuliaan peribadinya. Makin tinggi seseorang tu dalam ilmu agama, makin indah peribadi dan akhlaknya.

Yakin dan Percayalah,
Hidup ini bermakna apabila ada kasih sayang dan kebahagiaan. Kebahagiaan tu ada dalam diri anda sendiri....Anda mesti boleh dapatkannya kerana kebahagiaan tu sudah ada dlm diri anda, cuma anda perlu menerokainya.

Yakin dan Percayalah,
Sewaktu anda sakit, pasti akan ada seseorang mendo'akan anda supaya anda cepat sembuh walaupun anda tidak tahu siapa orang tu dan walaupun do'a itu disampaikan dari jauh.....Sewaktu anda bersedih, pasti akan ada orang yang mengharapkan anda kembali ceria seperti dahulu.......walaupun anda langsung tak menyedarinya...


Percayalah,
Ada 3 golongan yang dibenci Allah:
1.Apabila ada ilmu, ia sombong dengan ilmunya
2.Apabila ada ulama', ia tidak memuliakannya
3.Apabila ada kawan yang baik, ditinggalkannya lalu dipilihnya kawan yang buruk akhlaknya.


Percayalah,
Ada 3 tanda iman seseorang tu bercahaya:
1.Tidak takut celaan orang ketika berdakwah dan melakukan kebajikan
2.Tidak lalai beribadat kepadaNya walaupun dalam senang atau susah
3.Antara dunia dan akhirat,lebih dipilihnya akhirat.


Yakin dan Percayalah,
Antara orang yang dicintai Allah dan tidak dicintai Allah, ada bezanya....Allah akan memberi dunia dan kesempurnaan iman utk hambaNya yg DIA cinta agar tidak lalai....tetapi Allah hanya memberi dunia dan tidak memberi kesempurnaan iman kepada hambaNya yang tidak dicintaiNya..


Yakin dan Percayalah,
Anda tidak pernah dipinggirkan........cuba lihat bintang di langit waktu malam.....Anda pasti merasainya.....Cuba lihat matahari terbenam di waktu senja.......Anda pasti merasainya...kadang-kadang kita perlu bersendirian.....untuk mencari ketenangan dan memuhasabahkan diri bagi meneruskan perjuangan kita sebagai hambaNya....

Bermula Binasa Agama itu Dengan Tamak dan Baiknya itu Dengan Wara’

Posted by lianazulak On 1:59 PM



Satu kisah ketika Sayyidina Ali bin Abi Tholib semasa masuk ke masuk Masjid Jami' di Basrah. Beliau mendapati ramai orang yang memberi ceramah/mengajar di dalamnya. Maka beliau menguji mereka dengan beberapa pertanyaan dan ternyata mereka tidak dapat menjawab dengan tepat. Mereka terus diusir dan tidak diizinkan memberi ceramah di masjid itu;  dan ketika sampai kepada Majlis Al-Hassan A-Basri, 

Sayyidina Ali bin Abi Tholib bertanya; Hai pemuda,  saya akan bertanya kepadamu sesuatu.  Jika engkau dapat menjawab,  aku izinkan engkau terus mengajar di sini,  tetapi jika engkau tidak dapat menjawab,  aku akan usir engkau sebagaimana lain-lain temanmu yang telah aku usir.

Jawab Al-Hassan A-Basri;  Tanyakan sekehendakmu.


Sayyidina Ali bertanya;  Apakah yang dapat mengukuhkan agama? 

Jawab Al-Hassan;  Wara' 



Lalu ditanya lagi;  Apakah yang dapat merosakkan agama? 

Jawabnya;  Tamak. 


Lantas Sayyidina Ali berkata kepadanya;  "Engkau boleh tetap mengajar di sini.  Orang seperti engkau inilah yang dapat memberi ceramah kepada orang-orang".


Difaham daripada kisah ini,  maka sewajarnyalah kita sebagai seorang penuntut yang ingin belajar dan mendapat bimbingan yang betul lagi benar;  perlu mencari seorang guru yang memiliki sifat-sifat seperti di atas iaitu tidak tamak kepada apa jua habuan diri atau dunia dan Wara' halnya dalam tiap-tiap sesuatu.  Dengan memiliki guru seperti ini,  maka insyaAllah akan datanglah keberkatan dari Allah Taala untuk menerima sentuhan pengajarannya dan seterusnya dapat mengamalkannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.




Saturday, January 22, 2011

Fiqh Wanita - Permasalahan Wanita Haid dengan Al Quran

Posted by lianazulak On 5:39 AM



Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah,kita bertemu kembali dengan izin Allah SWT di dalam bentuk penulisan yang hanya sekadar untuk berkongsi ilmu yang diperolehi bersama-sama dengan sidang pembaca pada hari ini.


Wanita..... Tidak terlepas dengan masalah haidnya. Sehingga saya sendiri juga mengalami masalah ini ketika beribadat seperti hukum membaca, memegang serta menghafal Al-quran, mengambil wuduk, serta tentang putaran. Sebagai wanita, kita hendaklah mengambil berat tentang perkara ini agar setiap ibadah kita sempurna tanpa rasa was-was. 


Semua amal hendaklah disertai dengan ilmu. Barulah amalan tadi dikira sebagai ibadah. 
Sempurna harta kerana amalnya,
Sempurna amal kerana ilmunya,
Sempurna ilmu kerana niatnya,
dan sempurna niat kerana lilLahitaala. 




1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun
hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;"Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran" (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.



3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan "Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal".

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Mereka boleh membaca terjemahan atau tafsir ayat al-Quran dan memegangnya tanpa perlu mengambil wuduk. Namun mereka hendaklah memelihara jari jemari daripada tersentuh ayat al-Quran bagi menghormati ayat suci tersebut. Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-Azzazi, jil. 1. Hlm. 144-145.
2. Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3. Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati, hlm. 74.

Tuesday, January 18, 2011

Belajar Bahasa Arab Sehari 1 Ayat Arab

Posted by lianazulak On 9:19 AM


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah. Bertemu kita sekali lagi  dengan izin Allah SWT. Saya ingin berkongsi sedikit ilmu tentang bagaimana ingin meningkatkan kemahiran dalam bahasa Arab iaitu bahasa syurga.

Saya ingin mengambil  cerita daripada seorang sahabat tentang dirinya dahulu pernah mempelajari bahasa Arab:

"....teringat pengalaman saya berkenaan bahasa arab.masa sekolah dahulu saya sering tido dalam kelas bahasa arab.saya menguasai bahasa arab melalui hafalan dan bukan melalui pemahaman. Keputusan spm yang memuaskan melayakkan saya melanjutkan pelajaran di mesir,sebuah negara arab. Setibanya di sini,penyesalan mula bertapak dalam hati saya.biarpun masyarakat di sini bertutur dalam bahasa ammiah (bahasa pasar) tetapi penguasaan fushah juga amat penting. Kata orang,jika kita dapat menguasai fushah,sudah pasti kita boleh menguasai ammiah dgn mudah. Tetapi jika kita menguasai ammiah,belum tentu fushah kita cukup hebat.setelah setahun berada di mesir,saya boleh bertutur dalam bahasa ammiah tetapi nahu dan saraf masih tunggang langgang.saya ambil keputusan untuk menghadiri kelas bahasa arab fushah yang di ajar sendiri oleh orang arab.sebenarnya,belajar bahasa arab amatlah mudah jika kita mempunyai semangat dan perasaan ingin tahu yang kuat.jika kita boleh memahami org yang bercakap dalam bahsa arab dan kita juga boleh bertutur dalam bahasa arab dgn baik,satu kepuasan bagi diri kita sebenarnya.Malaysia memang hanya menekankan pembelajaran dalam bahasa arab secara teori dan bukan praktikal. cadangan saya,jika anda ada peluang untuk ke negara2 arab dan timur tengah,pergilah...ramai juga foreigners yang datang ke mesir hanya semata2 untuk belajar bahasa arab kerana setelah belajar,mereka akan terus praktikkan. Jika anda mampu,datanglah kesini bukan sahaja untuk melanconng tetapi juga untuk mendalami bahasa Al-Quran yang sangat indah ini. Jangan sekali-sekali berputus asa dalam mendalami bahasa arab. Jika kita berbangga apabila boleh bertutur dalam bahasa jepun,german,perancis dll,kita akan lebih puas jika kita dapat mnguasai bahasa arab dan seterusnya memahami Al-Quran serta khusyuk dalam ibadah kita...."


Imam Syu'bahSesiapa yang belajar hadis tetapi tidak belajar bahasa Arab, maka perumpamaannya ialah seperti orang yang memakai topi tetapi tidak mempunyai kepala.

Muhamad bin SalmahPerbandingan orang yang belajar Hadis tetapi tidak mengerti Nahu (bahasa Arab) adalah seperti himar yang digantung padanya guni makanan tidak di dalamnya kosong tanpa makanan.

Imam Asmu'i berkata"Sesungguhnya perkara yang paling saya bimbangkan terhadap penuntut ilmu Hadis ialah apabila dia tidak mengerti ilmu Nahu (Arab), dia akan termasuk dari kalangan golongan yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. "Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka."

kata-kata hukama': 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'.


Kata-kata mereka menaikkan semangat saya untuk mempelajari bahasa indah ini. Kita sendiri sedia maklum terdapat banyak kelebihan jika kita mahir dalam bahasa Arab dalam kehidupan kita. Saya menyarankan sahabat-sahabat mempelajari bahasa Arab. Jika kita boleh pandai bahasa Ingerris, tetapi kenapa kita tidak mampu hendak mempelajari bahasa Arab ini.



Sesiapa yg menempuh jalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkanya jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat akan menghamparkan sayapnya kepada penuntut ilmu kerana reda apa yang mereka lakukan. 
(HR Abu Daud)





Tajuk 010 : Kawan Dengan Yang Sama Bentuk



الطيور (at-tuyur) : burung-burung


على (ala) : atas


أشكالها (ashkaliha) : sejenisnya / sama bentuknya


تقع (taqau') : hinggap


PENERANGAN


Orang yang baik akan berkawan dengan orang baik juga. Begitulah juga dengan orang jahat. Jarang berlaku orang jahat berkawan dengan yang baik. Umpama burung-burung juga. Mereka berkawan dan berkumpulan bersama yang sejenis dengannya sahaja.
Tarikh pelajaran : 18 Jan 2011 oleh wanrusli.net

Tajuk 009 : Senyap dan Khusu'



كأن (ka'anna) : seolah - olah


على (ala) : di atas


رؤوسهم (ru'usi-him) : kepala-kepala mereka


الطير (at-tair) : burung


PENERANGAN


Burung biasanya akan hinggap pada objek yang tidak bergerak seperti atau atau kayu. Bagi menggambarkan suasana orang tenang, khusuk atau terpaku diam tidak bergerak, perumpaan ini digunakan. Sehinggakan burung boleh hinggap di kepala mereka kerana menyangkanya kayu atau batu..
Tarikh pelajaran : 17 Jan 2011 oleh wanrusli.net

Tajuk 008 : Dua Organ Manusia



إنما (innama) : hanyalah


المرء (almar'u) : lelaki itu


بأصغريه (bi-asgharai-hi) : dengan dua organ kecilnya


قلبه (qalbihi) : hatinya


ولسانه (wa-lisanihi) : dan lidahnya


PENERANGAN


Manusia bernilai pada dua organnya sahaja, iaitu pertama : hatinya yang menjadi sumber akal fikirannya dan pusat kawalan emosi, dan kedua : lidahnya yang menjadi perterjemah kepada hatinya tadi. Jadi, manusia yang tidak ada hati perut dan tidak pula menggunakan fikiran akan setaraf dengan haiwan lain. Begitu juga dengan orang bercakap tanpa berfikir dan pertimbangan...!
Tarikh pelajaran : 16 Jan 2011 oleh wanrusli.net

Tajuk 007 : Dengan Jiwa Bukan Badan



أنت (anta) : awak


بالنفس (bin-nafsi) : dengan jiwa


لا (la) : tidak


بالجسم (bil-jismi) dengan badan


إنسان (insanu) : seorang insan


PENERANGAN


Beza manusia dan binatang ialah manusia dikurnia akal dan jiwa. Kalau nilai manusia pada badannya, maka apa bezanya dengan binatang tadi. Jadi, insannya seorang insan adalah kerana jiwanya. Jiwa termasuklah akal dan akhlaknya.
Tarikh pelajaran : 14 Jan 2011 oleh wanrusli.net

Jika sahabat ingin mempelajari lebih banyak perkataan boleh ke sini dan sini




Wallahu 'alam..

Sunday, January 16, 2011

Kasyaf / ilmu laduni Nabi Khidir

Posted by lianazulak On 3:01 AM

Assalamualaikum wbt.. mungkin antum sekalian pernah mendengar kisah yang masyhur ini. Ambillah teladan disebalik kisah ini nescaya antum dapat merasa bahawa setiap manusia ada kelebihan masing-masing dan jangan sesekali merasa kita yang lebih hebat..  


Kisah Musa dan Khidir dirakamkan oleh Al-Qur'an dalam Surah Al-Kahfi ayat 65-82.

Ringkasan hikmah dari kisah tersebut:-
Setibanya mereka di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Khidir menjawab salamnya dan bertanya: “Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan?
Siapakah kamu? Jawab Musa, “Aku adalah Musa.”
Khidir bertanya lagi: “Musa dari Bani Isra’il?”
Nabi Musa menjawab: “Ya. Aku datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebahagian ilmu dan kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan.”

Khidir menegaskan: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku.” (Surah Al-Kahfi : 67)
“Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian daripada ilmu kurniaan dari Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu yang tidak kuketahuinya.”

Nabi Musa berkata: "Insya Allah Tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan aku tidak akan menentang Tuan dalam sesuatu urusan pun." (Surah Al Kahfi : 69 )

Dia (Khidir) selanjutnya mengingatkan: "Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu.: Surah Al Kahfi : 70)

Perjalanan Khidir dan Musa.
Demikianlah seterusnya Musa mengikuti Khidir dan terjadilah beberapa peristiwa yang menguji diri Musa yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap tindakan Nabi Khidir A.S. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa terperanjat.

Kejadian yang pertama adalah saat Nabi Khidir menghancurkan perahu yang ditumpangi mereka bersama. Nabi Musa tidak kuasa untuk menahan hatinya untuk bertanya kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir memperingatkan janji Nabi Musa, dan akhirnya Nabi Musa meminta maaf kerana kelancangannya mengingkari janjinya untuk tidak bertanya terhadap setiap tindakan Nabi Khidir.

Selanjutnya setelah mereka sampai di suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang anak yang sedang bermain dengan kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Nabi Khidir tersebut membuat Nabi Musa bertindak untuk menanyakan hal tersebut kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali mengingatkan janji Nabi Musa, dan beliau diberi kesempatan terakhir untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala sesuatu yang dilakukan oleh Nabi Khidir, jika masih bertanya lagi maka Nabi Musa harus rela atau pergi untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi Khidir.

Selanjutnya mereka melanjutkan perjalanan hingga sampai disuatu wilayah perumahan. Mereka kelelahan dan hendak meminta bantuan kepada penduduk sekitar. Namun sikap penduduk sekitar tidak bersahabat dan tidak mahu menerima kehadiran mereka, hal ini membuat Nabi Musa berasa kesal terhadap penduduk itu. Setelah dikecewakan oleh penduduk, Nabi Khidir malah menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya memperbaiki tembok suatu rumah yang rosak di daerah tersebut. Nabi Musa bertindak kembali untuk bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang menyuruh membantu memperbaiki tembok rumah setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya Nabi Khidir menegaskan pada Nabi Musa bahawa beliau tidak dapat menerima Nabi Musa untuk menjadi muridnya dan Nabi Musa tidak diperkenankan untuk terus melanjutkan perjalanannya bersama dengan Nabi Khidir.

Selanjutnya Nabi Khidir menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya.

-Kejadian pertama adalah Nabi Khidir menghancurkan perahu yang mereka tumpangi kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu milik rakyatnya.

-Kejadian yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahawa beliau membunuh seorang anak kerana kedua-dua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong bapa dan ibunya menjadi orang yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua ibu bapanya hingga ke anak cucunya.

-Kejadian yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahawa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang tinggal di kota tersebut. Didalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang ditujukan untuk mereka berdua. Ayah kedua-dua adik-beradik ini telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka harta yang tersimpan tersebut akan ditemui oleh orang-orang di kota itu yang sebahagian besar masih menyembah berhala, sedangkan kedua adik-beradik tersebut masih cukup kecil untuk mengelola peninggalan harta ayahnya. Dipercayai tempat tersebut berada di negeri Antakya, Turki.

Akhirnya Nabi Musa A.S sedar hikmah dari setiap perbuatan yang telah dikerjakan Nabi Khidir. Akhirnya mengerti pula Nabi Musa dan berasa amat bersyukur kerana telah dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang soleh yang dapat mengajarkan kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut atau dipelajari iaitu ilmu ladunni. Ilmu ini diberikan oleh Allah SWT kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya. Nabi Khidir yang bertindak sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan menyampaikan ilmu seperti yang diminta oleh Nabi Musa dan Nabi Musa menerima nasihat tersebut dengan penuh rasa gembira.

Saat mereka didalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu hinggap di hujung perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya, lalu Nabi Khidir berkata: “Ilmuku dan ilmumu tidak berbanding dengan ilmu Allah, Ilmu Allah tidak akan pernah berkurang seperti air laut ini kerana diteguk sedikit airnya oleh burung ini.”

Sebelum berpisah, Khidir berpesan kepada Musa:
“Jadilah kamu seorang yang tersenyum dan bukannya orang yang tertawa. Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa tujuan. Janganlah pula apabila kamu melakukan kekhilafan, berputus asa dengan kekhilafan yang telah dilakukan itu. Menangislah disebabkan kekhilafan yang kamu lakukan, wahai Ibnu `Imran.”


Hikmah kisah Khidir:
Dari kisah Khidir ini kita dapat mengambil iktibar penting. Diantaranya adalah Ilmu merupakan kurniaan Allah S.W.T, tidak ada seorang manusia pun yang boleh mengaku bahawa dirinya lebih berilmu dibanding yang lain.

Hal ini kerana adalah ilmu laduni merupakan anugerah dari Allah SWT yang diberikan kepada seseorang tanpa harus mempelajarinya.
(Ilmu Ladunni, iaitu ilmu yang dikhususkan bagi hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih).

Hikmah yang kedua adalah kita perlu bersabar dan tidak terburu-buru untuk mendapatkan kebijaksanaan dari setiap peristiwa yang dialami.

Hikmah ketiga adalah setiap murid harus memelihara adab dengan gurunya. Setiap murid harus bersedia mendengar penjelasan seorang guru dari awal hingga akhir, sebelum kita bertindak diluar perintah dari guru.
Kisah Nabi Khidir ini juga menunjukan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru/mursyid.

Friday, January 14, 2011

Buat Sahabat-Sahabatku

Posted by lianazulak On 6:20 AM

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan(bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.


SAJAK BUAT SAHABAT :-

SAHABAT YANG BAIK
LAKSANA PENJUAL KASTURI
SEDIKIT KESANNYA
KEHARUMAN MELATA


SAHABAT YANG BAIK
KEBAIKANNYA JADI TUMPUAN
KEIMANANNYA TERUS DIGILAPKAN
KETAQWAANNYA DAPAT DITINGKATKAN
MENGALAHKAN SYAITAN YANG SIANG MALAM
BERJUANG UNTUK KEROSAKAN


TETAPI,
SAHABAT YANG BAIK
RUPA PARAS BUKAN JADI BANDINGAN
DARJAT DAN PANGKAT BUKAN SOAL PILIHAN
YANG MULIA DI HATI BUDI
ASASNYA IMAN,NERACANYA TAQWA


SAHABAT YANG BAIK
IALAH YANG MENEGUR KESILAPANMU
AGAR IA TIDAK BERULANG
MELARANGMU DARI MELAKUKAN
KEMUNGKARAN YANG MENGINGATKANMU
DARI KEALPAAN TIDAK SETAKAT
MENGANGGUKAN KEPALA MENGIYAKAN
APA YANG KAU KATA


SAHABAT YANG BAIK
IALAH DISISIMU PADA SETIAP KEADAAN
YANG MERAIKANMU PADA SAAT
KEGEMBIRAAN YANG MENDAMPINGIMU
PADA SAAT KESEDIHAN
YANG SANGGUP BERKONGSI KEPENTINGAN
MEREALISASIKAN SEBUAH PENGORBANAN


SAHABAT YANG BAIK
MALUNYA MENGATASI PERAWAN
BERANINYA MENGATASI PAHLAWAN
CINTANYA BUKAN PADA GAMBARAN
RINDUNYA BUKAN PADA PERTEMUAN


TETAPI,
HATINYA SARAT DENGAN IMAN
RANTINGNYA IKHLAS
DAN PUNCAK KEREDHA'ANNYA JADI TUMPUAN...

Dosa penghalang kunci segala ILMU

Posted by lianazulak On 5:28 AM

Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk, melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".

Orang yang banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada perintah Allah, ia dekat kepadaNya. Orang yang sentiasa melakukan dosa selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil.
Dalam hal ini, Ibnu Mas'ud berkata: "Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala, seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya".

Dosa yang dilakukan itu akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu kepunyaan Allah jua".

Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya, manakala mereka yang taat lapang dadanya. Allah berfirman yang bermaksud:
"Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayah nescaya Allah memberi kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa yang Allah hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam kesukaran seolah-olah ia memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".

Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh menyinarinya.
Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya".

Dosa boleh menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu.
Satu ketika, Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat".

Dosa boleh menyebabkan seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata kepada Ibnu Mas'ud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk beribadat)".
Jawab Ibnu Mas'ud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada ibadat di waktu malam)".

Wednesday, January 12, 2011

Buat Maksiat ada 5 Syarat

Posted by lianazulak On 9:43 AM


"Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:

"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:

"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.

"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata:

"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-NYA."

Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:

"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.

"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya:

"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:

"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:

"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan:

"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh"

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:

"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"

Ibrahim pun menjawab:

"Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:

"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.

"Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.

Wallahu A'lam...

Bahan ini diambil dr laman web http://www.iluvislam.com/.