Sunday, September 26, 2010

Menuju Allah S.W.T...

Posted by lianazulak On 12:37 PM No comments

Imam Al-Arif BILLAH Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata:

Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya bantuan dari Allah s.w.t. itu walaupun ianya tersembunyi, tetapi ada petanda-petanda yang menunjukkan kepadanya (bantuan Allah s.w.t. tersebut). Oleh itu, carilah petanda bantuan ketuhanan tersebut dalam diri kamu dengan memelihara hudud Allah (syariat Allah s.w.t.) dan menunaikan perjanjianmu denganNya (menunaikan kehambaan kepadaNya).

Ketahuilah bahawasanya, antara tanda kasih sayang Allah s.w.t. kepada hambaNya ialah takkala seseorang hamba tersebut mengasihi Allah s.w.t.. Adapun tanda bagi kecintaan hamba kepada Allah s.w.t. adalah dengan mengutamakan Allah s.w.t. daripada selainNya.

Orang yang bahagia ialah orang yang diberi oleh Allah s.w.t. akan hati yang sentisa memikirkan keagunganNya, pandangan mata yang sentiasa melihat hal-hal yang boleh memberi pengajaran kepadanya, telingan yang sentiasa mendengar kebaikan daripada Allah s.w.t. (mendengar bacaan Al-Qur’an, zikir dan sebagainya) dan jiwa yang sentiasa bersungguh dalam berkhidmat kepadaNya.

Antara hak Allah s.w.t. yang paling sukar untuk ditunaikan oleh seseorang hamba adalah “syukur kepadaNya”. Sesungguhnya, syukur itu ada zahir dan batinnya. Zahir kesyukuran itu adalah dengan melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Adapun batin kesyukuran itu adalah dengan menyaksikan semua kebaikan itu datang daripada Allah s.w.t. (syuhud an-ni’mah). Seseorang tidaklah bersyukur jika tidak menunaikan perintah-perintahNya dan tidaklah menjaga kehambaannya kepadaNya jika ia mengabaikan perjanjian taat setianya kepadaNya.

Oleh itu, hendaklah kalian bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap setiap nikmat yang telah diberikan olehNya kepada kalian. Hendaklah kalian juga memperbaiki taubat. Ini kerana, maqam-maqam seterusnya akan terbina di atas taubat tersebut dan keberkatan taubat akan kembali kepada maqam yang telah dilaluinya. Tiada satupun maqam melainkan ianya terbina di atas pemurnian taubat itu sendiri. Tiada hal yang akan menjadi baik dan tiada amalan yang diterima tanpa pemurnian taubat itu sendiri…Adapun langkah untuk membantu dalam memurnikan taubat kita adalah dengan sentiasa berfikir tentang kelemahan diri dan kebesaran Allah s.w.t. serta bersunyi-sunyian dalam merenungi dosa diri dan nikmat Allah s.w.t. dalam diri.

Antara tanda sampai kepada sesuatu matlamat itu (iaitu sampai kepada Allah s.w.t.), ialah, wujudnya pemurnian dan pembaikian terhadap permulaan-permulaan perjalanan. Sesungguhnya, tatkala Allah s.w.t. membantumu dalam memurnikan taubatmu adalah lebih baik daripada tersingkapnya tujuh puluh ribu ghaib kepadamu dalam masa yang sama kamu semakin menjauhiNya.

Hendaklah kamu berzikir dan mengingati Allah s.w.t. dengan lidah kamu dan menghadirkan kebesaranNya dalam hatimu. Apa sahaja yang datang daripada Allah s.w.t. dari kebaikan, maka terimalah ia dengan penuh kesyukuran dan apa sahaja yang sebaliknya (yang tidak menyenangkanmu) yang datang kepadamu, maka kamu kembalikanlah kepadaNya dengan kembali kepadaNya, meminta bantuanNya, setiap masa.

0 comments: