Sunday, February 27, 2011

Kisah 5 perkara Aneh

Posted by lianazulak On 2:59 AM

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-


1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." 



Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. 



Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu,  mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." 


Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. 



Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,

1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.


Bulu Mata Sebagai Saksi

Posted by lianazulak On 2:24 AM


Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia utk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah,


“Tidak demi langit dan bumi,sungguh tidak benar. saya tak pernah malakukan perkara itu…”


“Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa”


Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada. Kemudian dia pun menyanggah, “mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”


Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”


Tiba-tiba mata berbicara,“Saya yang memandang,”


disusuli dengan telinga,“Saya yang mendengar perkara itu”


Hidung pun tidak ketinggalan,“Saya yang mencium”


Bibir pun mengaku dengan slumbernye,“Saya yang merayu”


Lidah menambah dengan berani,“Saya yang menjilat dan menghisap”


Tangan tanpa malu meneruskan,“Saya yang meraba dan meramas”


Kaki pula menyusul,“Saya yang berjalan dan berlari semasa itu”


“Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu,” ujar malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam.. Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, ” Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.”


Malaikat menjawab dengan tenang,“Silakan wahai bulu mata”



“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga:




“Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata.., maka perbanyakkanlah kita dengan bertaubat dan tangisilah dosa-dosa yang telah kita lakukan dengan air......janganlah kita berputus asa dengan Rahmat Allah....sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Wednesday, February 9, 2011

Maksiat

Posted by lianazulak On 10:19 PM



Ketahui olehmu bahawasanya tiada atas orang yang Tholib (iaitu orang yang menuntut kehampiran dengan Allah) yang memberi mudharat (kemusnahan) akan dia terlebih daripada redhanya daripada nafsunya. Dan adalah demikian itu jalan yang menjauhkan dan memutuskan daripada Allah,

seperti kata Sheikh Ibni Athai'llah As-Sakandari RA:
"Bermula asal tiap-tiap maksiat dan ghaflah (lalai) dan syahwat itu redha daripada nafsunya dan asal tiap-tiap taat dan jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redho daripada nafsu".

Bermula asal tiap-tiap maksiat dan ghaflah dan syahwat itu redha daripada nafsu kerana redha itu menutup ia akan aib (jahat) nafsu dan menegahkan ia daripada nazhor(tilik) kepada Haq Taala dalam segala ahwal dan asal tiap-tiap taat itu ialah jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redha daripadamu daripada nafsu.

Bermula redha daripada nafsu itu asal sekelian maksiat yang mazmumah dan ketiadaan redha daripadanya itu asal sekelian sifat yang mahmudah kerana bahawasanya seorang hamba itu apabila redha ia daripada nafsunya; maka dilihatnya segala perbuatan itu dalam baik dan dalam sempurna.

Melalui kalam hikmah ini...kita akan dapat mengenalpasti akan punca dan asal daripada segala sifat-sifat buruk yang ada pada seseorang. Jika diselidiki, memang banyaklah pelakuan maksiat dan kejahatan yang dilakukan oleh seorang hamba hasil daripada kuatnya desakan dan tarikan nafsu syahwat.

1.Semasa makan, hamba buat buat maksiat kerana mengikut nafsu dan selera mereka untuk bersedap-sedap dengan hidangan lauk-pauk yang lazat hinggakan melemahkan anggota dan hati untuk beribadat kepada Allah.

2.Semasa tidur, seorang hamba juga buat maksiat kerana mengikut nafsu syahwatnya untuk tidur di atas tilam yang empuk sehinggakan susah untuk Qiyamullail dan mungkin tertakhir sembahyang subuh hingga mata hari terbit.

3.Semasa bercakap dan berbincang dengan kawan-kawan, seorang hamba banyak melakukan dosa dan maksiat kerana mengikut nafsunya yang suka bercakap mengenai sesuatu yang menyebabkan mereka banyak ketawa atau memperkatakan sesuatu perkara yang haram seperti mengumpat dan menghina orang lain.

4.Semasa beribadat hamba banyak juga buat dosa dan maksiat kerana mengikut telunjuk nafsu syahwat dan redha dengannya untuk;
* mentakhirkannya tanpa kelulusan syarak
* mencampurkannya dengan riya
* menyemaikan benih-benih ujub
* mengharapkan kemulian dan balasan
* dipandang kita banyak buat ibadat berbanding orang lain
* menagih sesuatu keistimewaan dari amalan atau wirid yang dikerjakan
* dan banyak lagi maksiat-maksiat sama ada yang zhohir atau tersembunyi.

Semuanya adalah kerana redhonya hamha dengan keinginannya yang jahat-jahat tetapi didatangkan dalam wajah yang baik sehinggakan sesuatu yang
* jahat dianggap baik
* salah dianggap betul
* menipu dianggap benar
* kurang disangkakan sempurna
* berlebih-lebihan dikatakan sekadar mencukupi
* malas dikatakan rajin
* fitnah dikatakan sebagai maklumat
* bidaah dikatakan ikut sunnah
* tergelincir dianggap berada pada landasan yang betul
* dosa dianggap pahala

Dan berbagai-bagai lagi dari sesuatu yang batil tetapi dianggap yang sebenar lantaran cenderungnya dan sebatinya hamba dengan sifat-sifat mazmumah yang tercela lagi merosakkan. Dengan sebab itulah pada kalam hikmah di atas dengan kata-katanya seperti berikut:

Dan telah Ittifak (muafakat) atas segala orang yang arif dari segala orang yang mempunyai Istibsor Qulub (mata hati) bahawasanya redha daripada nafsu itu mewajibkan menutup segala aib nafsu dan segala kejahatan dan jadilah jahatnya....baik...

Maka barangsiapa mengikut nafsunya dan tiada menegahkan hawanya [tuju hatinya] nescaya adalah rugi dunianya dan akhiratnya. Dan barangsiapa menyalah nafsunya dan menegahkan hawanya daripada menyampaikan qasadnya, nescaya syurga tempatnya.

Syurga yang dimaksudkan di sini ialah syurga yang kekal abadi dalam akhirat nanti. Di samping itu juga mengikut pandangan ahli tasauf, ada satu lagi syurga yang disegerakan di dunia ini dan dianugerahkan kepada hamba-hamba Allah yang mematikan dirinya(nafsu syahwat dan sifat (Keakuan diri). Mereka telah bebas dari kurungan hawa nafsu ini akan diberikan "Jannatul 'Ajila" yang bermaksud hidup ruh dan jiwanya dengan sentiasa musyahadah akan Tuhannya mengikut maqam-maqam yang ditentukan buatnya. Demikianlah kurnia Allah Taala untuk mereka yang berjuang ke arah jalanNya dengan cara mematikan diri..

Sebaliknya hambanya yang sentiasa menjadikan hamba nafsu sebagai Tuhannya dengan berlazat-lazat dan bersenang-senang dengan perhiasan dunia tidak akan dapat merasa keuntungan dan kelebihannya di dunia ini dan di akhirat nanti. Di dunia mereka buta dan di akhirat lebih-lebih lagi. Tidak hairanlah mereka memakai pakaian-pakaian ego, hipokrit, tamak, bermuka-muka dan sebagainya kerana sentiasa meredhoi hawa nafsunya.

Mereka adalah golongan yang rugi dunia dan rugi di akhirat.
Syeikh Abu Hassan Syazali RA. pernah berkata: "Barangsiapa mati dan tiada bersungguh-sungguh dalam belajar ilmu kami (Ilmu Tasauf) maka matinya dia pada hal masih mengekali dosa-dosa besar".

Kata setengah ahli sufiah" barangsiapa mengintai akan Tuhannya dan segala Kothrohnya [lintasan hatinya] nescaya dipeliharakannya dalam segala harkahnya [gerak-gerinya].

Mengintai atau disebut juga sebagai Muraqabah mengikut istilah Sufiah membawa maksud mata hati yang sentiasa memerhatikan:
* Perbuatan dirinya adakah berlandaskan ilmu fekah(syariat) atau taqlid membuta.?
* Perkataannya adakah memberi manfaat dan mudhorat kepada dirinya atau orang lain atau semata-mata lagha (sia-sia) sahaja ?
* Pandangan hati(jiwa)nya sentiasa ingin melihat akan Keesaan dan Keagungan Allah sama ada dalam perbuatan (Afa'al Allah), sifat-sifat Allah atau Zat Allah dalam tiap-tiap sesuatu yang melintasi pandangan mata hatinya.

Dengan adanya sifat-sifat hati yang sentiasa mengawasi setiap gerek-gerinya, nescaya hamba tersebut akan terpelihara daripada terjerumus kepada maksiat zahir dan batin pada setiap harkahnya(gerak-gerinya).

Dan adalah redha daripada segala nafsu dan ketiadaan redha itu jadi daripada bersahabat dengan segala orang yang baik dan orang yang jahat kerana bahawasanya seseorang itu atas agama kekasihnya.

Maka kerana demikian itulah: kata Sheikh Ibni Athai'llah As-Sakandari RA:
"Bahawasanya bersahabat engkau dengan orang yang jahil yang tiada redha dengan nafsu terlebih baik daripada bersahabat engkau dengan orang yang Alim yang redha ia dengan nafsunya".

Wallahu Ta'ala A'lam