Tuesday, September 28, 2010

KATA-KATA HIKMAH AHLI-AHLI TASAWUF

Posted by lianazulak On 12:57 PM

I ) ILMU DAN HIKMAH

1. Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Ilmu yang tidak bermanfaat umpama ubat yang tidak menyembuhkan.

2. Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Duduklah bersama dengan orang yang berakhlak mulia nescaya akan bertambah mulialah akhlakmu dan duduklah bersama para ulama, nescaya ilmumu akan bertambah.

3. Imam Ghazali
Sesiapa yang memiliki ilmu lalu memanfaatkannya dan memberi manfaat pada orang lain samalah seperti mentari yang menerangi dirinya dan orang lain,sedangkan ia ( mentari ) itu terus bersinar.

4. Luqman al-hakim
Diam itu merupakan hikmah,namun tidak ramai yang mempraktikkannya.



II ) MASA

1. Saidina Ali Karamullahu Wajhah
Kehidupanmu adalah nafas-nafas ( detik-detik ) yang tertentu, apabila berlalu satu detik daripadanya nescaya telah berkuranglah satu juzuk ( daripada umurmu).

2. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Janganlah engkau menangguhkan untuk melakukan sesuatu kebaikan hingga keesokkan hari, kerana mungkin keesokkan hari yang mendatang kamu telah mati.

3. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Hari ini ( di dunia ) adalah masa untuk beramal dan tidak ada hisab padanya, manakalah hari esok pula ( di akhirat ) adalah waktu perhitungan dan tidak ada peluang untuk beramal.

4. Saidina Abbas
Sebaik-baik perkara kebajikan adalah disegerakan.

5. Imam Hasan al-Basri
Sesungguhnya kamu wahai manusia ibarat bilangan, apabila berlalu bagimu satu hari bererti telah berlalu sebahagian daripada kamu.



III) IBADAT DAN AMALAN

1. Saidina Ali Karramallahu Wajhah
Apabila Ketaatan itu berkurangan,nescaya kejahatan itu akan bertambah.

2. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Memandang remeh sesuatu maksiat ( dosa ) adalah lebih bahaya daripada melakukannya ( maksiat tersebut )

3. Imam Syafie
Kamu inginkan kejayaan,namun kamu tidak menurut jalan-jalannya>Sesungguhnya kapal itu tidak belajar di atas daratan.

4. Imam Syafie
Sifat tawaddu’ akan mewariskan sifat kasih sayang, dan sikap merasa cukup senang pula akan mewariskan kerehatan.

5. Umar Abd Aziz
Berfikir pada nikmat Allah SWT merupakan sebesar-besar ibadah, sekiranya manusia berfikir pada keagungan Allah SWT nescaya ia tidak akan melakukan maksiat.



IV) TASAUF DAN AKHLAK

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Sesiapa yang menghiasi dirinya dengan sikap insaf, nescaya ia akan sampai kepada martabat orang yang mulia.

2. Imam al-Ghazali
Bagaimana bayang lurus sedangkan pokoknya bengkok.

3. Seorang bijaksana
Pada ketenangan ada keselamatan, dan pada kegopohan ada penyesalan.

4. Seorang bijaksana
Akhlak yang buruk itu merosakkan amalan seperti cuka yang merosakkan madu.

5. Seorang bijaksana
Syukur itu pengikut perkara yang ada dan pemburu perkara yang tiada.


V) AKHIRAT DAN KEMATIAN

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Taqwa adalah takut kepada Allah SWT, beramal dengan al-Quran, merasa cukup sedikit, bersedia untuk ke akhirat.

2. Saidina Umar
Dunia perkara yang halalnya akan dihisab, perkara haramnya akan di azab, orang yang mengejarnya umpama anjing.

3. Saidina Ibnu Abbas
Tiada kerehatan bagi orang yang beriman melainkan bertemu dengan Allah SWT.

4. Luqman al-Hakim
Wahai anakku! Juallah duniamu untuk mendapatkan akhirat nescaya kamu akan mendapat keuntungan kedua-duanya sekali.

5. Imam Hasan al-basri
Kami lihat orang yang dikurniakan habuan dunia dengan amalan akhirat dan kami tidak pernah melihat orang yang dikurniakan ganjaran akhirat dengan amalan dunia.



VI) PERINGATAN DAN NASIHAT

1. Saidina Ali Karramullahu Wajhah
Sesiapa yang meletakkan dirinya ( berada ) di tempat-tempat tohmahan maka janganlah ia mencela orang yang buruk sangka terhadapnya.

2. Saidina Ibnu Abbas r .a
Terlaknat orang yang memuliakan kekayaan dan menghina kefakiran.

3. Saidina Ibnu Abbas r .a
Aku menjadi hina ketika meminta dan menjadi mulia ketika dipinta ( memberi ).

4. Berkata Umar Abd Aziz
Apabila kamu merasakan kamu mampu menzalimi manusia, maka ingatlah kekuasaan Allah SWT terhadapmu.

5. Seorang bijaksana
Kebaikan itu akan dibalas dengan kebaikan, dan orang yang memulakannya itulah yang lebih baik. Kejahatan itu akan dibalas dengan kejahatan dan orang yang memulakan itu adalah lebih zalim.

Sunday, September 26, 2010

Menuju Allah S.W.T...

Posted by lianazulak On 12:37 PM

Imam Al-Arif BILLAH Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata:

Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya bantuan dari Allah s.w.t. itu walaupun ianya tersembunyi, tetapi ada petanda-petanda yang menunjukkan kepadanya (bantuan Allah s.w.t. tersebut). Oleh itu, carilah petanda bantuan ketuhanan tersebut dalam diri kamu dengan memelihara hudud Allah (syariat Allah s.w.t.) dan menunaikan perjanjianmu denganNya (menunaikan kehambaan kepadaNya).

Ketahuilah bahawasanya, antara tanda kasih sayang Allah s.w.t. kepada hambaNya ialah takkala seseorang hamba tersebut mengasihi Allah s.w.t.. Adapun tanda bagi kecintaan hamba kepada Allah s.w.t. adalah dengan mengutamakan Allah s.w.t. daripada selainNya.

Orang yang bahagia ialah orang yang diberi oleh Allah s.w.t. akan hati yang sentisa memikirkan keagunganNya, pandangan mata yang sentiasa melihat hal-hal yang boleh memberi pengajaran kepadanya, telingan yang sentiasa mendengar kebaikan daripada Allah s.w.t. (mendengar bacaan Al-Qur’an, zikir dan sebagainya) dan jiwa yang sentiasa bersungguh dalam berkhidmat kepadaNya.

Antara hak Allah s.w.t. yang paling sukar untuk ditunaikan oleh seseorang hamba adalah “syukur kepadaNya”. Sesungguhnya, syukur itu ada zahir dan batinnya. Zahir kesyukuran itu adalah dengan melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Adapun batin kesyukuran itu adalah dengan menyaksikan semua kebaikan itu datang daripada Allah s.w.t. (syuhud an-ni’mah). Seseorang tidaklah bersyukur jika tidak menunaikan perintah-perintahNya dan tidaklah menjaga kehambaannya kepadaNya jika ia mengabaikan perjanjian taat setianya kepadaNya.

Oleh itu, hendaklah kalian bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap setiap nikmat yang telah diberikan olehNya kepada kalian. Hendaklah kalian juga memperbaiki taubat. Ini kerana, maqam-maqam seterusnya akan terbina di atas taubat tersebut dan keberkatan taubat akan kembali kepada maqam yang telah dilaluinya. Tiada satupun maqam melainkan ianya terbina di atas pemurnian taubat itu sendiri. Tiada hal yang akan menjadi baik dan tiada amalan yang diterima tanpa pemurnian taubat itu sendiri…Adapun langkah untuk membantu dalam memurnikan taubat kita adalah dengan sentiasa berfikir tentang kelemahan diri dan kebesaran Allah s.w.t. serta bersunyi-sunyian dalam merenungi dosa diri dan nikmat Allah s.w.t. dalam diri.

Antara tanda sampai kepada sesuatu matlamat itu (iaitu sampai kepada Allah s.w.t.), ialah, wujudnya pemurnian dan pembaikian terhadap permulaan-permulaan perjalanan. Sesungguhnya, tatkala Allah s.w.t. membantumu dalam memurnikan taubatmu adalah lebih baik daripada tersingkapnya tujuh puluh ribu ghaib kepadamu dalam masa yang sama kamu semakin menjauhiNya.

Hendaklah kamu berzikir dan mengingati Allah s.w.t. dengan lidah kamu dan menghadirkan kebesaranNya dalam hatimu. Apa sahaja yang datang daripada Allah s.w.t. dari kebaikan, maka terimalah ia dengan penuh kesyukuran dan apa sahaja yang sebaliknya (yang tidak menyenangkanmu) yang datang kepadamu, maka kamu kembalikanlah kepadaNya dengan kembali kepadaNya, meminta bantuanNya, setiap masa.

KEROHANIAN

Posted by lianazulak On 12:22 PM

Ilmu rohaniah atau ilmu rohani adalah ilmu mengenai roh. Yakni ia mengkaji, memerhati, mengesan dan menilai tentang perjalanan roh. Perkataan rohaniah itu berasal dari perkataan ‘ruhun’. Apakah yang dikatakan roh itu? Untuk mencari jawapannya marilah bersama-sama saya mengembara ke alam rohani ini, dengan izin Allah SWT. Moga-moga saudara-saudari juga turut juga dapat memahaminya melalui pengembaraan kerohanian ini. Untuk itu mari kita kenali apa itu roh. Roh terbahagia kepada dua iaitu:

1-Ruhul hayah
2-Ruhul tamyiz

RUHUL HAYAH
Ruhul hayah terdapat pada semua makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, binatang dan setiap benda yang bernyawa. Mengikut kajian ahli biologi atau para saintis, batang kayu juga ada roh. Begitu juga pada semua jamadat (benda mati) seperti batu, kayu dan sebagainya.

RUHUL TAMYIZ
Ruhul tamyiz (ruhul amri) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak ada pada binatang tetapi hanya ada pada manusia, malaikat dan jin. Dengan adanya roh tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk mendirikan syariat. Mereka memikul beban untuk mendirikan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya roh tamyiz atau ruhul amri itu tidak ada pada binatang. Binatang hanya ada ruhul hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang memungkinkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi roh tamyiz ini tidak ada pada binatang dan seluruh jamadat. Oleh kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan mendirikan syariat. Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan perintah suruh dan menjauhi larangan dari Allah. Dengan lain perkataan, mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah kerana adanya ruhul tamyiz ini.

Roh tamyiz terkenal dengan sebutan akal. Hadis ada meriwayatkan:

Maksudnya: “Ketika Allah menciptakan akal, Dia memanggil akal itu dan akal itu pun datang. Dia menyuruh akal itu pergi maka pergilah ia. Kemudian Allah berfirman kepada akal: ‘Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang dan menyeksa serta memberi pahala’.” (Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Inilah yang membedakan antara manusia, jin dan malaikat dengan lain-lain makhluk yang hanya semata-mata ada ruhul hayah. Umpamanya binatang, ia tidak mukalaf. Sebab itu pada binatang walaupun ia berbuat baik, tidak diberi pahala. Ia berbuat jahat pun tidak berdosa. Maka bila mati mereka jadi tanah. Ke Syurga tidak, ke Neraka pun tidak.

Tetapi ketiga-tiga makhluk ini yakni manusia, jin dan malaikat, oleh kerana memiliki akal atau ruhul amri maka mereka akan dibalas baik ke Syurga dengan rahmat-Nya atau ke Neraka dengan keadilan-Nya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat, mereka berdosa dan akan dicampakkan ke Neraka. Selama ini kita mungkin jarang mendengar tentang istilah roh tamyiz ini. Mungkin kita hanya biasa mendengar tentang istilah roh atau ruhul hayah saja.

Ruhul hayah yang ada pada binatang, manusia, malaikat dan jin, kiranya ia keluar dari badan, mereka akan mati. Kalau ia keluar dari malaikat, malaikat akan mati. Begitu juga kalau ia keluar dari jin, jin akan mati. Kalau ia keluar dari hewan, hewan itu juga akan mati. Kerana ruhul hayah ini menjadi penyebab pada manusia dan lain-lain makhluk itu hidup.

Manakala roh tamyiz pula, kalau ia keluar dari badan manusia, manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh, dapat melihat alam ghaib, dapat melihat alam kubur, dapat melihat alam Akhirat, dapat melihat alam jin, dapat melihat alam malaikat, alam yang halus-halus (alam mawaraa-ul maddah ) iaitu dapat melihat alam di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah.

Ini yang berlaku apabila roh tamyiz keluar dari jasad sama ada keluar di waktu kita tidur atau secara jaga. Kiranya roh tamyiz itu keluar di waktu seseorang itu sedang tidur, dia akan dapat mimpi. Bila ia jumpa roh yang suci, seseorang itu akan dapat mimpi yang baik-baik. Tetapi apabila roh tamyiz itu bertemu dengan ruhul khabitah (roh yang jahat) ia akan berjumpa dengan jin yang jahat, syaitan, iblis atau benda-benda yang menakutkan.

Jika ruhul tamyiz ini keluar di waktu jaga, secara yakazah, dia akan dikasyafkan iaitu tabir yang bersifat maddiah dibuka atau diangkat. Ia akan dapat melihat alam malaikat, alam jin, alam kubur, dapat membaca hati orang dan Allah memperlihatkan hakikat manusia itu sendiri atau melihat benda-benda yang jauh darinya seperti manusia lain yang tidak semajelis dengannya. Mungkin manusia yang dilihatnya itu berada di jarak ratusan atau ribuan mil darinya. Apa yang ada pada manusia itu, bagaimana perangai manusia itu, begitulah yang akan dilihat oleh roh. Itulah kelebihan ruhul tamyiz dengan kuasa Allah. Tetapi ruhul hayah itu bila keluar dari badan mana-mana makhluk, maka makhluk itu akan mati.

Perlu dijelaskan lagi:

1. Malaikat ada roh, ada akal tetapi tidak ada nafsu. Dia mukalaf yang taat atau tabiat makhluknya taat, patuh dan tidak pernah ingkar. Seperti yang disebutkan di dalam Al Quran:

Maksudnya: (Malaikat itu) tidak pernah menderhakaiAllah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim: 6 )

2. Binatang ada roh, ada nafsu tetapi tidak ada akal dan tidak mukalaf. Tidak dipertanggungjawabkan syariat kepada mereka. Bila mati jadi tanah. Tidak ke Syurga dan tidak ke Neraka.

3. Manusia ada roh, ada nafsu dan ada akal. Ertinya, ada ketiga-tiga sekali. Kalau diasuh, dididik dan dibersihkan hatinya, ia akan berwatak malaikat yang berupa manusia. Bila tidak dididik dan diasuh atau tidak dibersihkan hatinya, dia akan jadi watak binatang atau watak syaitan yang berupa manusia.