Sunday, January 16, 2011

Kasyaf / ilmu laduni Nabi Khidir

Posted by lianazulak On 3:01 AM No comments

Assalamualaikum wbt.. mungkin antum sekalian pernah mendengar kisah yang masyhur ini. Ambillah teladan disebalik kisah ini nescaya antum dapat merasa bahawa setiap manusia ada kelebihan masing-masing dan jangan sesekali merasa kita yang lebih hebat..  


Kisah Musa dan Khidir dirakamkan oleh Al-Qur'an dalam Surah Al-Kahfi ayat 65-82.

Ringkasan hikmah dari kisah tersebut:-
Setibanya mereka di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Khidir menjawab salamnya dan bertanya: “Dari mana datangnya kesejahteraan di bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan?
Siapakah kamu? Jawab Musa, “Aku adalah Musa.”
Khidir bertanya lagi: “Musa dari Bani Isra’il?”
Nabi Musa menjawab: “Ya. Aku datang menemui tuan supaya tuan dapat mengajarkan sebahagian ilmu dan kebijaksanaan yang telah diajarkan kepada tuan.”

Khidir menegaskan: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku.” (Surah Al-Kahfi : 67)
“Wahai Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian daripada ilmu kurniaan dari Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu yang tidak kuketahuinya.”

Nabi Musa berkata: "Insya Allah Tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan aku tidak akan menentang Tuan dalam sesuatu urusan pun." (Surah Al Kahfi : 69 )

Dia (Khidir) selanjutnya mengingatkan: "Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu.: Surah Al Kahfi : 70)

Perjalanan Khidir dan Musa.
Demikianlah seterusnya Musa mengikuti Khidir dan terjadilah beberapa peristiwa yang menguji diri Musa yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap tindakan Nabi Khidir A.S. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa terperanjat.

Kejadian yang pertama adalah saat Nabi Khidir menghancurkan perahu yang ditumpangi mereka bersama. Nabi Musa tidak kuasa untuk menahan hatinya untuk bertanya kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir memperingatkan janji Nabi Musa, dan akhirnya Nabi Musa meminta maaf kerana kelancangannya mengingkari janjinya untuk tidak bertanya terhadap setiap tindakan Nabi Khidir.

Selanjutnya setelah mereka sampai di suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang anak yang sedang bermain dengan kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh Nabi Khidir tersebut membuat Nabi Musa bertindak untuk menanyakan hal tersebut kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali mengingatkan janji Nabi Musa, dan beliau diberi kesempatan terakhir untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala sesuatu yang dilakukan oleh Nabi Khidir, jika masih bertanya lagi maka Nabi Musa harus rela atau pergi untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi Khidir.

Selanjutnya mereka melanjutkan perjalanan hingga sampai disuatu wilayah perumahan. Mereka kelelahan dan hendak meminta bantuan kepada penduduk sekitar. Namun sikap penduduk sekitar tidak bersahabat dan tidak mahu menerima kehadiran mereka, hal ini membuat Nabi Musa berasa kesal terhadap penduduk itu. Setelah dikecewakan oleh penduduk, Nabi Khidir malah menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya memperbaiki tembok suatu rumah yang rosak di daerah tersebut. Nabi Musa bertindak kembali untuk bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang menyuruh membantu memperbaiki tembok rumah setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya Nabi Khidir menegaskan pada Nabi Musa bahawa beliau tidak dapat menerima Nabi Musa untuk menjadi muridnya dan Nabi Musa tidak diperkenankan untuk terus melanjutkan perjalanannya bersama dengan Nabi Khidir.

Selanjutnya Nabi Khidir menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya.

-Kejadian pertama adalah Nabi Khidir menghancurkan perahu yang mereka tumpangi kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu milik rakyatnya.

-Kejadian yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahawa beliau membunuh seorang anak kerana kedua-dua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong bapa dan ibunya menjadi orang yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan anak yang soleh dan lebih mengasihi kedua ibu bapanya hingga ke anak cucunya.

-Kejadian yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahawa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang tinggal di kota tersebut. Didalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang ditujukan untuk mereka berdua. Ayah kedua-dua adik-beradik ini telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka harta yang tersimpan tersebut akan ditemui oleh orang-orang di kota itu yang sebahagian besar masih menyembah berhala, sedangkan kedua adik-beradik tersebut masih cukup kecil untuk mengelola peninggalan harta ayahnya. Dipercayai tempat tersebut berada di negeri Antakya, Turki.

Akhirnya Nabi Musa A.S sedar hikmah dari setiap perbuatan yang telah dikerjakan Nabi Khidir. Akhirnya mengerti pula Nabi Musa dan berasa amat bersyukur kerana telah dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang soleh yang dapat mengajarkan kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut atau dipelajari iaitu ilmu ladunni. Ilmu ini diberikan oleh Allah SWT kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya. Nabi Khidir yang bertindak sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan menyampaikan ilmu seperti yang diminta oleh Nabi Musa dan Nabi Musa menerima nasihat tersebut dengan penuh rasa gembira.

Saat mereka didalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu hinggap di hujung perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya, lalu Nabi Khidir berkata: “Ilmuku dan ilmumu tidak berbanding dengan ilmu Allah, Ilmu Allah tidak akan pernah berkurang seperti air laut ini kerana diteguk sedikit airnya oleh burung ini.”

Sebelum berpisah, Khidir berpesan kepada Musa:
“Jadilah kamu seorang yang tersenyum dan bukannya orang yang tertawa. Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa tujuan. Janganlah pula apabila kamu melakukan kekhilafan, berputus asa dengan kekhilafan yang telah dilakukan itu. Menangislah disebabkan kekhilafan yang kamu lakukan, wahai Ibnu `Imran.”


Hikmah kisah Khidir:
Dari kisah Khidir ini kita dapat mengambil iktibar penting. Diantaranya adalah Ilmu merupakan kurniaan Allah S.W.T, tidak ada seorang manusia pun yang boleh mengaku bahawa dirinya lebih berilmu dibanding yang lain.

Hal ini kerana adalah ilmu laduni merupakan anugerah dari Allah SWT yang diberikan kepada seseorang tanpa harus mempelajarinya.
(Ilmu Ladunni, iaitu ilmu yang dikhususkan bagi hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih).

Hikmah yang kedua adalah kita perlu bersabar dan tidak terburu-buru untuk mendapatkan kebijaksanaan dari setiap peristiwa yang dialami.

Hikmah ketiga adalah setiap murid harus memelihara adab dengan gurunya. Setiap murid harus bersedia mendengar penjelasan seorang guru dari awal hingga akhir, sebelum kita bertindak diluar perintah dari guru.
Kisah Nabi Khidir ini juga menunjukan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru/mursyid.

0 comments: