Wednesday, January 5, 2011

Tiada Sial Pada Bulan Safar

Posted by lianazulak On 4:06 AM 2 comments

Pesta Mandi Safar yang masih diamalkan di dalam masyarakat Melayu

Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan agama Islam sememangnya terkenal dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat. Sebagai contoh sekiranya mereka ingin memulakan perjalanan mereka akan melihat gerakan-gerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri atau ke kanan. Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin akan dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut. Perkara sebegini disebutkan tathayyur atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara. Sebagai contohnya Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata:

Dahulu golongan jahiliyah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas tanggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi s.a.w. diutuskan, baginda menyeru orang ramai: “Kekalkan burung pada sarangnya.” – Riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani di dalam Hilyah al-Auliya’

Islam menyelar budaya tathayyur ini dan menganggap ianya merupakan satu perbuatan yang mencemar kemurniaan tauhid kerana ketergantungan hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah S.W.T. dengan menyakini perkara tersebut boleh membawa mudharat atau manfaat kepada kita. Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah S.W.T semata-mata. Firman-Nya:



Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".al-Taubah (9) : 51

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap kerana sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah S.W.T. tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Firman Allah S.W.T.:

Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. – al-A’raaf (7) : 131

Oleh itu bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikkan.

Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:




مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ



Barangsiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik. - Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748

Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:




الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلاَثًا وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.



Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seoarang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no: 3411.

Melalui hadis di atas kita dapati sedikit sebanyak setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur ini akan tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah akan menghilangkan perasaan tersebut dari jiwa kita. Sekiranya kita telah terjebak dalam perlakuan tathayyur ini, untuk menebusnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita untuk mengucapkan:




اللَّهُمَّ لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُكَ وَلاَ طَيْرَ إِلاَّ طَيْرُكَ وَلاَ إِلَهَ غَيْرُكَ.



Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu dan tidak ada kesialan kecuali kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu. - Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748.

Namun apa yang menyedihkan setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliyah yang diperangi oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Safar adalah bulan kedua dalam kalendar hijrah dan Safar bermaksud kosong atau meninggalkan sesuatu tempat. Penamaan bulan yang kedua ini sebagai Safar adalah kerana kebiasaan orang Arab meninggalkan rumah mereka pada bulan ini bertujuan memerangi musuh-musuh dan mereka juga suka mengembara pada bulan ini. Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan bulan Safar merupakan bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Sesetengah umat Islam menghindarkan diri dari melakukan perjalanan pada bulan safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contohnya dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab tersebut memilih untuk menahan diri dari keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati agar semua pengikut tarekat tersebut untuk tidak meninggalkan rumah melainkan sekiranya benar-benar perlu. Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Syaikh tarekat tersebut ‘Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penedritaan (bala) akan menimpa dunia. Barangsiapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa.” Bagi orang Melayu pula mereka menghindari dari melakukan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin tersebut akan tidak berkekalan dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat. Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Firman-Nya:

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. – al-Taghaabun (64) : 11

Lantaran itu beberapa amalan bidaah telah dicipta sempanan bulan Safar ini untuk menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.

MANDI SAFAR
Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan Mandi Safar atau mandi beramai-ramai ditepi sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual untuk menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa. Orang Melayu berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi dengan alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka mambaca jampi tertentu atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan mandi Safar ini diwarisi dari budaya Hindu. Walaupun Pesta Mandi Safar ini semakin terhakis dalam umat Melayu terdapat sesetengah pihak yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Maka diarahnya penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam di dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga bermandi dengannya. Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry berkata:

Orang-orang awam biasa menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas, misalnya ayat:

"Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam! " (al-Saaffaat (37) : 79) pada hari Rabu terakhir bulan Safar, kemudian meletakkannya di dalam bekas (berisi air) untuk diminum airnya dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa hal ini akan menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang. – Rujuk al-Sunnan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqahbi al-Adzkaar wa al-Shalawaat karya Syaikh Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah-Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta (2004), ms. 149

Upacara yang disebut oleh Syaikh Muhammad ‘Abdussalam ini biasanya dikerjakan di Masjid di antara solat Maghrib dan Isyak pada hari Rabu terakhir bulan Safar.

SOLAT SUNATPada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan untuk mengerjakan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum masukya waktu Zuhur. Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah sekali, surah al-Kautsar tujuh belas kali, al-Ikhlas lima kali, Surah al-Falaq dan al-Naas sekali dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat. Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa seperti berikut:

Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunnanya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya. – Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139

Ternyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat suna serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fathimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa. Allah S.W.T. memerintahkan hamba-Nya untuk berdoa secara terus kepada-Nya tanpa perantaraan sebagaimana firman-Nya:

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. – al-Ghaafir (40) : 60

BACAAN SURAH DAN ZIKIR TERTENTUDalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan untuk menolak bala. Di antara amalan-amalannya adalah membaca kalimah syahadah sebanyak tiga kali, beristighfar tiga ratus kali, membaca ayat al-Kursi tujuh kali, suraf al-Fiil tujuh kali dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.

MEMBERI SEDEKAHKonnonnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan untuk menjauhkan diri dari penderitaan dan nasib malang.

BERKORBANTerdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjurkan untuk mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.

Ternyata kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. serta tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Lantaran itu hendaklah seluruh umat Islam menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan bidaah tersebut. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa segala tanggapan bahawa bulan Safar adalah bulan yang penuh dengan musibah dan bencana buruk adalah tidak benar. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:




لاَ عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلاَ هَامَةَ.



Tiada penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tiada (keburukan ataupun kesialan pada bulan) Safar dan tiada (kecelakaan yang bersangkutan dengan) burung hantu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5717

Dugaan bahawa bulan Safar mahupun hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan bulan ataupun hari yang malang merupakan sebahagian dari tathayyur yang dicela oleh syarak sebagaimana yang telah dibahaskan pada bahagian awal risalah ini. Menurut Ibnu Rajab r.h:

Menganggap sial bulan Safar adalah termasuk jenis tathayyur yang dilarang, begitu juga menganggap sial sesuatu hari seperti hari Rabu dan anggapan golongan jahiliyah terhadap bulan Syawal sebegai bulan sial secara khusus untuk dalam nikah. – Dinukil dari kitab Fathul Majid : Syarah Kitab Tauhid karya Syaikh ‘Abdurrahman bin Hassan Alu Syaikh, edisi terjemahan bertajuk Fathul Majid Penjelasan Kitab Tauhid, Pustaka Azzam, Jakarta (2004), ms. 580

Harus kita fahami bahawa mencela waktu yang tertentu adalah seolah-olah mencela Allah S.W.T kerana semua waktu itu adalah ciptaan Allah S.W.T.. Bagi setiap waktu termasuk bulan Safar ini sekiranya dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat serta amal soleh adalah termasuk dalam waktu yang baik dan penuh keberkatan. Oleh itu hendaklah bulan Safar ini dilihat seperti bulan-bulan yang lain dalam kalendar hijrah dan kita terus mengerjakan amal-amal ibadah yang disunnahkan seperti bulan-bulan lain tanpa mengkhususkan amalan tertentu yang tidak ada nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Hendaklah kita menghindarkan diri dari melakukan ramalan bahawa akan datang sesuatu perkara yang buruk disebabkan sesuatu perkara (tathayyur) kerana ianya termasuk dalam kategori amalan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan Allah S.W.T. tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikannya melainkan bagi mereka yang bertaubat. Firman-Nya:

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". - Luqman (31) : 13

Firman-Nya lagi:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh." – Surah al-Nisa' (4) : 116.