Saturday, May 21, 2011

Perumpamaan Pokok Dengan Ibadah Kita

Posted by lianazulak On 11:54 PM No comments


Kadang-kadang seorang Islam yang melaksanakan amalan yang ditaklifkan oleh Allah tidak memperolehi hasil secara segera dan inilah kebanyakan yang berlaku di medan kerja-kerja umum, dakwah kepada agama Allah, jihad dan di medan perubahan Islam yang dituntut dan diingini oleh orang Islam. Tidak munculnya hasil secara segera ini, mengandungi perkembangan dan kebaikan yang berterusan di dalamnya. Ini kerana tabiat manusia suka kepada tergesa-gesa. Firman Allah SWT:
  
Sifat manusia sentiasa ingin menanam tanaman hari ini dan memungut hasilnya pada keesokan hari. Walau bagaimanapun Alah Azza Wajalla mempunyai sunnah-sunnahNya yang telah ditetapkan. Adalah diakui dalam sesetengah aktiviti, seseorang menanam hari ini, telah berjaya memungut hasilnya pada keesokan hari,  namun di dalam sesetangah aktiviti yang lain, seseorang menanam tanaman hari ini, tanaman tersebut tidak menghasilkan sebarang buah, kecuali setelah berlalu 15 tahun selepas itu seperti pokok zaitun misalnya. Terdapat buah-buahan yang tidak mungkin dapat dipungut kecuali setelah berlalu satu tempoh masa tertentu. Selagi anda berusaha mendapatkan hasilnya sebelum masanya, ia sedikitpun tidak memberi faedah kepada anda, bahkan jika anda berusaha juga secara tergesa-gesa untuk mendapatkan buahnya, boleh jadi sikap anda itu akan membuatkan pokok yang anda tanam itu mati. Terdapat sunnah-sunnah ilahi yang wajib diraikan oleh kita, kerana Allah SWT telah menjadikan taklif ilahi berhubungan rapat dengan sebab-sebab zahir dan bukannya dengan perkara-perkara luar biasa yang mencarikkan adat.

Adakah anda ditaklifkan supaya berhubung dengan perkara-perkara luar biasa yang mencarikkan adat? Atau anda ditaklifkan di dalam ruang lingkup sebab-sebab yang zahir yang kadang-kadang disokong oleh Allah dengan kejadian yang luar biasa?

Asal taklif sebenarnya berada di dalam ruang lingkup alam sebab yang zahir. Kadang-kadang Allah SWT menjadikan anda berjaya melampaui alam sebab-sebab yang zahir itu dan kadang-kadang juga tidak. Kerana itu apabila anda beramal dalam rangka melaksanakan taklif ilahi yang diwajibkan ke atas anda, hendaklah anda memerhatikan sunnah-sunnah Allah Azza Wajalla dan sunnah Allah SWT ini, kadang-kadang menghukumkan sesetengah perkara memperolehi hasil agak lewat berbanding yang lain.

Kebanyakan yang berlaku kepada manusia – khususnya yang terlibat di dalam gerak kerja dakwah, pendidikan, jihad dan juga politik- mereka tergesa-gesa untuk  mendapatkan hasil sebelum masanya. Tergesa-gesanya mereka untuk mendapatkan hasil tersebut, bukanlah merupakan asas yang diakui di dalam kehidupan orang Islam. Persoalannya hasil dan buah sebenarnya berkait rapat dengan Allah dan Allah SWT mempunyai hikmah-hikmah tertentu berkaitan dengannya.

Pada hari kiamat nanti, ada di antara ada di antara rasul yang akan dibangkitkan oleh Allah SWT hanya diikuti oleh seorang pengikut sahaja. Ada yang diikuti oleh dua orang pengikut dan ada yang langsung tidak mempunyai pengikut.

Dalam suasana kita melibatkan diri dalam kerja-kerja umum, kadang-kadang kita dapati, hasilnya tidak datang secara segera, sebaliknya agak lewat, persoalannya bagaimana sepatutnya kita berdepan dengan situasi ini? Adakah kita patut berdepan dengannya dengan  perasaan putus asa dan meninggalkan terus kerja-kerja umum itu atau kita terus berinteraksi dengan situasi tersebut dengan penuh kesabaran, disamping mengemaskinikan lagi aktiviti tersebut. Kita perlu melihat adakah terdapat kekurangan dalam amalan yang kita lakukan itu. Firman Allah SWT:

“Dan berapa banyak dari nabi-nabi terdahulu telah berperang dangan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan agama Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Apa yang perlu dibuat ialah mereka perlu melihat balik diri mereka,seterusnya meneguhkan amalan kerana Allah dan dengan Allah, disamping menunjukkan kesabaran yang tinggi di dalam melaksanakan amalan tersebut. Inilah keadaan orang Islam di dalam hidupnya. Ia tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan hasil sebelum tiba masanya.

Ini sesuai dengan keadaan fiqh yang menyatakan:

Mereka perlu terus berinteraksi dengan situasi lambatnya datang hasil tersebut disamping terus mengelokkan amalan, melakukan muhasabah dan bersabar. Tidak ada satu bentuk gantian yang cepat mendatangkan hasil kecuali dalam bentuk meninggalkan aktiviti yang dilakukannya itu, sedangkan meninggalkan aktiviti tersebut tidak harus sama sekali. Begitu juga dengan sikap berputus asa, juga tidak diharuskan sama sekali.

Syeikh Ibn Ata’illah memberi peringatan, dalam kita melakukan sesuatu kerja, jangan hendaknya kita mudah berputus asa dan jangan meninggalkan terus kerja yang sedang kita lakukan itu semata-mata kerana hasilnya lambat diperolehi, sebaliknya kita hendaklah meneruskan kerja tersebut.

Wallahua'lam

0 comments: