Sunday, March 27, 2011

Tanpa Bergantung Dengan Amalan Sendiri

Posted by lianazulak On 1:10 PM 1 comment


Ada orang bersandar kepada amalnya untuk membolehkannya memasuki syurga atau selamat dari seksa Allah. Ada pula yang menyandarkan diri kepada amalannya untuk sampai kepada Allah dan menyingkap penutup hati. Menurut Syeikh Ibn Ata'illah keinginan kedua golongan ini adalah tercela, kerana timbul dari nafsu yang menganggap amalan itu datang dari diri sendiri, sehingga mengutamakan amalan tersebut unuk mencapai tujuannya. Sedangkan orang-orang yang arif tidaklah bersikap demikian. Mereka sama sekali tidak menganggap diri mereka mempunyai amalan, apalagi untuk bersandar kepadanya. Mereka berpendapat yang hakiki hanyalah Allah. Harapan kepada rahmat Allah bagi orang-orang arif ini tidaklah bertambah oleh sesuatu sebab dan tidak pula berkurang oleh sebab. Harap kepada rahmat Allah dan takut kepada azab Allah yang terdapat di dalam diri mereka sentiasa seimbang dalam setiap keadaan.

Orang Islam ditaklifkan melakukan berbagai-bagai amalan bagi mendapatkan keredaan Allah, tetapi di dalam masa yang sama ditaklifkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan itu, kerana walau bagaimana hebat sekalipun amalan yang dilakukannya, dia tetap tidak mampu menunaikan hak Allah Azza Wajalla dan hak bersyukur kepadaNya dalam ertikata yang sebenarnya[1].Firman Allah SWT:

Maksudnya:
"Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak nikmat Tuhannya".

1.Ini tidak membawa maksud kita tidak perlu beramal dengan amalan-amalan yang telah ditaklifkan oleh syarak seperti menunaikan solat, berzikir, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, bersedekah dan lain-lain, sebaliknya yang ditekankan oleh beliau di sini ialah tidak boleh bergantung ssepenuhnya kepada amalan-amalan yang dilakukan, bagi mendapatkan keredaan Allah, sebaliknya perlu juga mengambil kira rahmat Allah di dalam melakukan amalan tersebut,kerana tanpa rahmat Allah, kita tidak dapat melakukan amalan-amalan tersebut dengan jayanya. Contoh yang lain lebih mudah untuk difahami ialah seseorang yang ditimpa sesuatu penyakit disuruh berubat, tetapi dalam masa ia tidak disuruh bergantung sepenuhnya kepada ubat tersebut untuk menyembuhkan dirinya, kerana kuasa yang menyembuhkan sebenarnya ialah Allah SWT sahaja. Mengambil ubat itu hanyalah sebahagian dari langkah kita berusaha dan berikhtiar untuk mencari kesembuhan yang diperintahkan oleh syarak. Perbuatan tersebut terlalu bergantung kepada ubat tersebut adalah sejenis perbuatan syirik yang ditegah kita melakukannya.

Sehubungan dengan itu, dia ditaklifkan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukannya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Bersikap luruslah anda dan hampirkan diri kepada Allah dan ketahuilah tidak ada seorangpun dari kalangan anda yang akan memasuki syurga dengan amalan yang dilakukannya sahaja. Para sahabat bertanya: Adakah tuan juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan itu wahai Rasulullah?: Sabda baginda: Ya, saya juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan yang saya lakukan, walau bagaimanapun Allah SWT menganugerahkan kepada sya dengan keampunan dan rahmat daripadaNya." Hadith riwayat al-Sittah (enam orang ulama Hadith terkemuka)

Meninggalkan sikap bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan, mengandungi banyak hikmah dan mempunyai hubung kait dengan kefahaman tentang Allah dan pembersihan jiwa. Sikap bergantung sepenuhnya kepada amalan akan melahirkan perasaan penyakit ghurur (penyakit terpedaya dengan amalan yang dilakukan), ujub, menunjukkan kelebihan diri ke atas Allah dan buruk adab terhadapnNya. Selain itu, ia juga membuatkan seseorang merasakan Allah melaksanakan hak-hak tertentu terhadap dirinya. Ke semuanya ini adalah merbahaya dan perangkap syaitan belaka.

Oleh kerana bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan, merupakan punca kesalahan dan perangkap syaitan, malah bertentangan dengan maqam al-Siddiqin ( orang-orang yang sangat benar), Syeikh Ibn Ata'illah memulakan rawatan penyakit ini dengan memberikan kepada kita satu tanda yang membolehkan kita mengenalinya.

Apakah tanda yang membuktikan samada kita bergantung seenuhnya kepada amalan yang kita lakukan atau bergantung kepada Allah? Sudah tentu Syeikh tidak menyatakan tinggalkanlah beramal, sebaliknya Syeikh terus mengalakkan kita beramal. Beliau ingin menarik perhatian kita kepada satu persoalan penting dimana melaluinya kita mengetahui adakah kita terlalu bergantung kepada rahmat Allah atau kepada amalan-amalan yang kita lakukan. Kerana itu, dalam setiap keadaan, orng Islam wajib megekalkan sepenuhnya kepercayaan kepada Allah dan tali hubungan ini hendaklah sentiasa meningkat dan berkembang.

Ketika anda dapati diri anda melakukan kesalahan dan akibat dari kesalahan tersebut, timbul perasaan kurang percaya dan kurang bergantung kepada Allah, membuktikan pada asasnya anda sebenarnya terlalu bergantung kepada amalan-amalan yang anda lakukan itu dan bukannya kepada Allah SWT.

Sekiranya kepercayaan dan harapan anda kepada rahmat Allah sempurna, sudah tentu setiap apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada harapan, kepercayaan dan tawakal anda itu. Apabila anda terjebak dengan ke dalam sesuatu kesalahan, anda tidak boleh berputus asa, kerana masih boleh bertaubat kepada Allah dan menaruh kepercayaan terhadap kesempurnaanNya. Walaupun dunia berubah, namun anda tetap kekal dengan kepercayaan dan tawakal anda kepada Allah dan hubungan ini perlu sentiasa dipertahankan.

Apabila berlaku perubahan akibat keruntuhan urusan-urusan dunia atau kelemahan sebab musabbab atau anda sendiri terjebak ke dalam satu-satu kesalahan atau maksiat, kemudian kurang harapan dan pergantungan anda kepada Allah, pada asasnya ada suatu kesalahan dan perkara yang tidak kena pada diri anda iaitulah terlalu bergantung kepada amalan yang anda lakukan dan bukannya bergantung kepada Allah. Di kala itu anda wajib menilik diri anda dan menguatkan semula hubungan anda dengan Allah, dalam semua aktiviti yang anda lakukan. Anda tidak boleh lupa untuk melaksanakan hak syariat di dalam taubah atau muhasabah atau berpegang dengan sebab musabbab.

1 comments:

tidak harus menghitung-hitung pahala kerana mahukan syurga...
dan kerana takutkan neraka...
tambah tolak..itu ini...sibuk!!
masih keanak-anakan....