Thursday, December 30, 2010

Puteri Raja yang Rindu Akan Allah

Posted by lianazulak On 5:20 AM 1 comment


Diceritakan dari Syeikh Ibrahim Al-Khowwas rahimahullah, bahwasanya dia berkata:

Pada suatu ketika, rasa hatiku tergetar untuk pergi ke kota Rom, seolah-olah ada orang yang memanggil-manggil namaku supaya aku barangkat segera ke sana. Kemudian aku terfikir, buat apa aku ke sana. Rom itu ialah tempat kediaman orang-orang Nasrani yang sangat membenci orang-orang Islam. Namun begitu hati tetap tertarik ke situ seperti ada besi berani yang menariknya, maka aku bersiap-siap akan berangkat menuju ke kota Rom itu.

Setelah berjalan beberapa hari, tibalah aku di kota Rom itu. Aku lihat bangunan-bangunanya tinggi-tinggi dan teratur. Aku pun melalui rumah-rumah orang Nasrani itu, dan memerhatikan kawasan-kawasan mereka. Dan syukurlah pertolongan Allah sentiasa menyertai diriku, dan InayahNya selalu menggiringiku. Tidak ada satu kesusahan pun yang menghalangi perjalananku itu. Setiap kali aku bertemu dengan orang-orang Nasrani itu, mereka memalingkan pandangannya daripadaku dan terus menjauhi diri, hingga akhirnya sampailah aku di muka sebuah gedung yang besar lagi indah pula.

Aku berhenti dan memerhatikan gedung itu, dan kelihatan di situ ada beberapa orang berkumpul, masing-masing lengkap dengan senjatanya, dan di tangan mereka pula ada alat-alat penahan diri dari seranggan orang. Apabila mereka melihatku datang, mereka lalu mendekatiku seraya bertanya;

"Apakah engkau ini seorang tabib?"
"Benar saya adalah seorang tabib," aku menjawab sambil tersenyum.
"Kalau begitu bawa dia mengadap paduka raja?" jelas yang lain.
"Buat apa pula saya dibawa mengadap raja?" tanyaku hairan.
"Raja perlu kepada tabib seperti engkau ini!" kata mereka.

Aku pun dibawa mereka untuk mengadap paduka raja. Aku masih bingung mengapa Raja Rom mahu menggundang semua tabib-tabib datang ke istananya. Ini tentu ada perkara yang penting. Apabila aku sampai di balai mengadap, aku ditahan oleh pengawalnya.

"Siapa orang ini?" tanya pengawal kepada orang yang membawaku itu.
"Dia seorang tabib," ' jawab orang itu.
"Sudahkah dia tahu syarat dia dibenarkan masuk ke sini." tanya pengawal itu lagi.
"Belum," jawab orang tadi.

Pengawal itu lalu memberitahuku, bahwasanya Raja mempunyai seorang puteri yang tergangu fikirannya. Sudah banyak tabib yang dibawa ke sini untuk mengubatinya, namun kesemuanya tidak berjaya, maka mereka semua telah dihukum mati. Kemudian pengawal itu bertanya kepadaku pula:

"Sekarang engkau sudah tahu syarat raja itu, apakah engkau sanggup menggubati puteri itu?"

Penggawal itu meminta penjelasan daripadaku supaya aku tidak terkeliru.

"Laa Haula Walaa Quwwata Illah Billah," ucapku di dalam hati.

Kemudian aku mengatakan kepada pengawal itu.

"Apa boleh buat sekarang. Kamu orang sekalian telah membawaku ke mari, maka biarlah aku melihat puteri itu, mana tahu aku dapat mengubatinya."
"Mari ikut aku masuk!' perintah penggawal itu. Aku pun mengikutinya sedang jantungku berdebar debar. Apa hal, jika aku tidak dapat mengubati puteri itu? Kataku di dalam hati. Tidak beberapa lama, sampailah aku ke istana khusus untuk puteri itu. Aku pun mendengar ada suatu suara yang memanggil-manggil, suara wanita, barangkali suara puteri raja itu.

"Bawa ke mari segera tuan tabib itu" Antaraku dengan dia ada suatu rahsia yang luar biasa," kata puteri itu.

Pengawal yang membawaku ke dalam istana itu memerhatikan wajahku, dan aku juga memerhatikan wajahnya, masing-masing bertanya dengan isyarat pandangan apakah rahsia itu?
Ketika aku tiba di pintu bilik puteri itu, tiba-tiba pintunya dibuka oleh seorang tua yang usianya sudah lanjut.

Orang itu berkata: "Silakan masuk!"

Aku pun memasuki bilik puteri itu, dan aku mendapatinya terisi dengan berbagai-bagai perhiasan yang indah-indah, permaidaninya sungguh halus dan berwarna-warni, kain-kain tabirnya jarang-jarang menampakkan lembaga siapa yang di dalamnya. Dan dari bilik tabir itu terdengar suara keluhan yang terputus-putus dari jisim manusia yang kurus kering dan lagi lemah, ternyata dia sedang menaggung penderitaan batin.

Ketika aku melihat manusia itu, aku ragu-ragu sama ada aku harus memberi salam kepadanya, atau tidak, kerana aku masih ingat pesanan Nabi s.a.w. supaya jangan memberi salam kepada orang-orang Yahudi atau Nasrani, maka lantaran itu akan menahan salamku. Aku terus pergi ke tempat duduk yang ditunjuk oleh pengawal itu, lalu aku pun duduk.

"Di mana salammu, hai Ibrahim?!" puteri itu bertanya lagi.

"Assalamu alaiki," kataku kepadanya.

"Hai Ibrahim! Aku sudah memohon Allah supaya mengutus kepadaku salah seorang daripada WaliNya agar dalam tangannya aku akan terselamat," ujar puteri itu.

Aku masih berdiam diri mendengar kata-katanya dengan penuh hairan. Kata-kata serupa ini sepatutnya diucapkan oleh orang Islam. Kemudian dia menyambung lagi,

"Sudah lama aku menunggu, baru semalam aku dengar satu seruan mengatakan bahawa Ibrahim Al-Khowwas akan hadir," jelas puteri itu lagi.

"Bilakah terlintas dalam hatimu perkara ini?" tanyaku kepadanya secara isyarat. Kini aku sudah tahu bahwa puteri ini telah berada di dalam benteng Islam.

"Sejak empat tahun yang lalu," jawabnya. "Apabila cahaya kebenaran itu mendampinginya hati seorang hamba menjadilah ia sebagai pembimbingnya, penimbul kemesraannya dan perindu dendamnya"

"Betul katamu itu. Perasaan serupa ini bukan semua orang dapat merasakanya," kataku kepadanya. Mukanya bercerah mendengar komentarku itu.

"Tapi mengapa mereka sekalian menuduhku ORANG GILA..?" puteri itu terus menangis mengadukan halnya kepadaku.

"Orang tak tahu senang menuduh," aku menenanggkan perasaannya.

"Bukan satu tabib yang dibawa kepadaku, bahkan semuanya melemparkan kepadaku tuduhan yang sama,"

Puteri raja itu mengadukan halnya kepadaku. Dia kini kelihatan lebih tenang apabila sudah berbicara kepadaku. Suaranya pun sudah mula nyaring.

"Macam mana engkau sampai kepada petunjuk ini?" tanyaku kepadanya.

"Bukti-bukti Tuhan yang jelas. Bukankah bila tersingkap bukti kekuasaanNya, terbuka jalan kepadaNya?!"

"Benar! itu memang benar!" aku berkata kepadanya sambil tersenyum.

Aku berkata di dalam hatiku, puteri ini bukan saja mudah mendapat petunjuk, malah telah sampai ke peringkat cinta yang tinggi pula. Sedang aku asyik bercakap-cakap dengan puteri itu dalam beberapa hal yang lain, maka datanglah orang tua tadi lalu bertanya kepada puteri itu:

"Bagaimana keadaan tuan puteri kini?!"

"Baik," jawabnya dengan sederhana dan tenteram.

"Dapat tabib ini mengubatimu?"

"Aku senang dengan tabib ini. Dia tahu penyakitku ini dan kini dia sedang memberiku penawarnya", jawab puteri itu.

"Benar, tuanku?" tanya orang tua itu lagi dengan perasaan gembira.

"Benar!" jawab puteri itu.

Orang tua itu segera berlari mendapatkan Raja dan memberitahunya apa yang dikatakan oleh puterinya tadi. Raja merasa gembira dan datang menemuiku serta mengalu-alukanku. Aku diberikan sebuah rumah dekat istana itu, dan setiap hari aku datang menemui puteri itu sambil berbicara berbagai-bagai lapangan hingga cukup tujuh hari lamanya. Kemudian puteri itu membisikkan sesuatu, katanya:

"Aku sudah bosan duduk di sini. Aku mahu lari dari sini," ujar puteri itu dengan menampakkan wajah yang kurang senang.

"Ke mana?" tanyaku kepadanya.

"Ke negeri Islam.

'Bagaimana? Bukankah istana ini dikelilingi oleh pengawal-pengawal dengan rapi, dan askar-askarnya pun penuh menunggu di luar. Kau hendak lari bagaimana?" aku merasa risau mendengar usul puteri itu.

"Apa yang kau hendak susahkan. Yang Memasukkan kau ke dalam istana ini akan mengeluarkanku dan kau daripadanya," jawab puteri itu.

Aku terpukau mendengar bicara puteri ini, dan kagum dari hal kuat Tawakkalnya. Memang aku tidak dapat menolak usulnya.

"Memang benar katamu itu, kerana Allah berkuasa atas setiap sesuatu, dan siapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Dia akan menolongnya," aku memberikan sokongan kepada usul puteri itu.

Kami pun mengatur rencana untuk melarikan diri dari istana itu. Kami berdoa mudah-mudahan Allah akan menyelamatkan kami. Pada hari esoknya, kami keluar menerusi pintu belakang istana itu yang menuju ke sebuah taman. Bilangan pengawal yang berada di siru tidak begitu banyak. Mereka melihat kami seperti tidak melihat. Tidak sepatah kata pun mereka menanyai kami atau menghalangi kami. Semua itu ialah dengan berkat kuat keazaman puteri itu untuk meninggalkan negeri ayahnya yang sesat dan pergi ke negeri Islam.

Kami berjalan bersama-sama menuju ke Makkah, kerana puteri itu sangat ingin untuk melihat Baitullah. Tiba di Mekah, aku lihat dia terus berpuasa pada siang hari, dan bangun beribadat pada malamnya, hatinya senang sekali ketika berada di samping Ka'bah itu. Dia tinggal di situ selama tujuh hari tujuh malam saja, lalu dia menemui ajalnya, sedang dia dalam sebaik-baik amal, dan berada di sebaik-baik tempat. Di sanalah dia dikuburkan sebagai seorang wanita Wali Allah yang termulia.

Moga-moga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di Syurga yang tinggi. Ameen..

Wallahu Ta'ala A'alam....

1 comments:

Ada jiwa yang tidak kenal rasa cinta..
Dialah jiwa yang tidak tahu erti cinta..
Dengan cinta aku kenali jalan hidup ku..
Dengan cinta aku hampiri Allah yang
ku rindu..

Andai hati berselimutkan iman,
Hidup beroleh kemuliaan..

Andai jiwa berserah diri,
Hidup kan terasa tenteram

Jika perilaku lurus, pintu kemudahan akan terbuka
Segala ada yg dibumi berasal daripada tanah

Andai antara diriku dan diri-Mu terjalin kasih,
Tak akan diri ini jatuh dalam kehancuran..

“Titian Nabi”
dikarang oleh Mukjizat cinta [Muhammad masykur A.R Said]