Saturday, December 11, 2010

Kaedah Berzikir Untuk Penyucian hati

Posted by lianazulak On 10:14 AM No comments


Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim.Peranan zikir dalam kehidupan manusia ke arah untuk mengenali diri dan Allah sungguh besar dan bererti sekali. Dengan zikirilah seseorang itu dapat membersihkan hati dan dirinya yang sememangnya penuh dengan noda dan dosa. Diri (hati) manusia itu seperti perabut di dalam rumah yang sentiasa terdedah kepada hinggapan debu dan habuk. Maka ia selalulah kena bersih, sapu dan gilap. Alat untuk menyapu, membersih dan mengilap itu ialah ZIKIR. Kalau sembahyang (solat) mencegah kemungkaran, zikir pula mendekat dan merapatkan hamba dengan Tuhannya.


Maksud sebuah Firman Allah.......


"Zikir untuk membersihkan hati."


Dan Rasulullah S.A.W. bersabda......


" Sucikan hati dengan berzikir."


Dari Firman dan Hadis itu jelas menunjukkan zikir itu sangat besar peranan dan gunanya. Bolehlah dianggap bahawa zikir itu sebagai alat nombor satu ataupun "serbuk" pencuci yang tida ada tolak banding. Zikir menjadi cermin kepada setiap insan yang bercita-cita untuk melihat dirinya serta perkara-perkara ghaib yang berlegar-legar disekeliling kehidupannya.


Hakikat akan kebesaran dan ketinggian hikmah zikir ini dibuktikan sendiri oleh Allah dalam FirmanNya bermaksud.......


" Kalau engkau tidak tahu, bertanya kepada ahli zikir."


Ini menunjukkan ahli zikir menjadi "Prof." yang serba tahu mengenai sesuatu yang ghaib ataupun yang zahir. Golongan zikirilah inilah yang boleh tenggelam dalam kecintaan makrifat kepada Allah yang sebenarnya. Yang kasyaf dan dapat mengetahui sesuatu yang terlindung dari pancaindera zahir.


# Pengertian Zikir #


Sebelum kita membicarakan perihal zikir ini lebih lanjut lagi, marilah dulu sama-sama kita mengetahui apakah erti dan pengertian zikir itu. Apakah yang dikatakan zikir itu yang sebenarnya? Pengertian ini perlu kita ketahui dengan sebenarnya untuk mengelakkan kita daripada salah membuat tanggapan. Bahana salah membuat tanggapan terhadap sesuatu hakikat amal ibadat tak ubah seperti salah menaruh umpan di mata joran, di mana menyebabkan ikan yang kita harapkan makan kail, ikan lain pula yang dapat. Harap Tenggiri, dapat ikan Duri!

Perkataan ZIKIR ialah dalam bahasa Arab yang bererti atau membawa makna, "sebut" dan "mengingat Allah". Dalam pengertian ringkas ialah mengingati dan berdoa kepada Allah akan kesejahteraan, kebahagiaan dan kebermaknaan hidup kita dan umat Islam seluruhnya. Sebut itu baik pada mulut atau pun dalam hati. Dan ingat itu ialah di dalam hati tentang sesuatu apa-apa yang disebutkan.


Jadi ertinya kalau dikatakan zikir ialah ingat, sambil berdoa dan bermohon kepada Allah. Disebut berzikir, maknanya kita mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon kepadaNya, baik secara nyata ataupun diam. Sembahyang (solat), membaca al-Quran dan berpuasa juga termasuk dalam definasi "zikir" kepada Allah.


Tujuan zikir ialah untuk ingat akan kebesaran Allah, di mana bila kita mengingatkan kebesaranNya, maka dengan sendirinya pula kita tahu akan duduk dan martabat diri kita. Dengan berzikir juga kita sentiasa tahu duduk tara kita dengan Allah. Dengan berzikir juga boleh mengejapkan Tauhid kita kepada Allah dan menguatkan i'tiqad kita kepada segala perintahNya.


Zikir adalah satu ibadat yang dituntut oleh Allah sendiri. Perintah supaya sentiasa mengingat Allah itu, adalah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.


Antara lain sebagai berikut :-


1. Firman Allah Ta'ala Surah Al-Baqarah 152.......


"Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadaMu dan bersyukurlah kepadaKu dan jangan kamu mengingkari (nikmat)Ku."


2. Firman Allah Ta'ala Surah Al-Ahzab 41-42.......


"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang."


3. Firman Allah Ta'ala Surah Ab-Nisa' 103.......


"Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu berdiri, di waktu duduk dan diwaktu berbaring."


Dan Sunnah yang menjadi dalil dianjurkannya banyak berzikir itu, antara lain :-


1. Hadis At-Turmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda' (marfu')......


"Tiadakah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling bersih disisi Tuhanmu dan paling tinggi (mengangkat) darjatmu, dan lebih baik bagimu dari (berperang) melawan musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan merekapun memenggal batang lehermu?"


Para Sahabat menjawab......."Bahkan."


Rasulullah S.A.W. pun bersabda......."zikurullah."


2. Hadis Muslim dari Abu Hurairah, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda.......


"Tiada satu kaum (kalangan) duduk berzikir mengingati Allah pada suatu majlis, melainkan Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka dan Allah mengingat mereka, termasuk orang (yang dekat) disisiNya."


3. Hadis Bukhari.......

"Sesungguhnya bagi Allah itu ada Malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang


-orang yang berzikir. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan) yang berzikir kepada Allah, mereka berseru......."Ayuh, mari kepada hajat kamu."


Lantas Rasulullah S.A.W. bersabda......"Maka malaikat-malaikat itu mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit dunia."


Hadis-hadis yang menerangkan kelebihan zikir itu cukup banyak. Adapun pengertian dan fungsi zikir atau berzikir ini boleh dibahagikan kepada 2 (dua) bahagian, iaiti pengertian Syariat dan pengertian Hakikat.


# Pengertian Syariat #


Seperti disebutkan tadi, pengertian syariat zikir itu ialah mengingat dan sebut, atau sebut dan mengingat. Sebut di sini ialah sebut Asma' (nama) Allah serta ingat di dalam hati akan makna dan pengertian Asma' itu. Misalnya lidah menyebut Al-jabar (Pemaksa), maka hati mengingatkan kepada sifat pemaksaanNya. Bila lidah sebut Ar-Rahman, hati akan ingat kepada sifat-sifat kemurahanNya. Bila lidah menyebut Al-Latiff, maka hati akan terkenang kepada sifat kelemah-lembutan- Nya. Bila lidah sebut Ar-Rahim, hati ingat kepada sifat pengampunan- Nya dan begitulah seterusnya. Setiap kali lidah menyebut NamaNya, hati akan mengenangkan kepada sifat-sifatNya.


Perlu diingatkan, mengenai butir zikir ini ia tidak terbatas kepada perkataan tertentu, atau pun kepada "asma' ul'husna", sebaliknya ada perkataan-perkataan atau sebutan lain. dan paling unik ialah sebutan diri yang lahir dari lubuk hati seseorang itu. Sebutan ini berbeda dengan kebanyakan atau pun dengan butir-butir zikir yang popular.


# Pengertian Hakikat #


Zikir dalam pengertian hakikat ialah apabila kita menyebut Asma' Allah kita akan ingat kepada diri kita sendiri. Misalnya kita sebut "Jamal", kita ingat akan sifat "Jamal" Allah itulah yang ada kepada kita. Justeru itu kita perlu menggunakan (apa yang kita sebutkan) itu untuk terus mengingatkanNya. Kita sebut Allah, maka kita kembalikan kekuasaan Allah itu ke atas diri kita. Kita ingat dan sedar, tanpa ada Dia tidak mungkin kita dapat hidup dan menyebut serta menerimaNya sebagai Tuhan kita.


Pengertian hakikat zikir itu ialah kita ingat kepada diri kita sendiri, sebagai hambaNya yang mulia dan harus melaksanakan tanggungjawab kita kepadaNya pada sepanjang masa. Di samping itu kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang mulia yang diturunkan untuk menjadi khalifah dan pemimpin di atas muka bumi ini.


"Sebaik-baik kejadian ialah manusia."


Zikir pada hakikatnya itu bukan untuk Allah sebab Allah tidak memerlukan apa-apa lagi seperti mana FirmanNya.......


"Wahai manusia sesungguhnya kamulah yang memerlukan Allah dan Allah yang Maha Kaya, tidak memerlukan apa-apa. Jika Dia mahu nescaya, Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk lain (sebagai ganti)."


Al-Fatir 15-16


Allah berdiri di atas SifatNya sendiri, "muqhalafatuhuta'ala lilhawadith)", malahan Dia tempat bergantung dan meminta.


Jadi, apabila kita berzikir itu kita mencari kekuatan untuk diri kita sendiri dan bukan lagi untuk Allah. Apa yang kita lakukan itu hanya sebagai menjalankan tanggungjawab dan sumpah janji kita sahaja semasa di alam "luh mahfuz" dahulu.


# Bagaimana Zikir berperanan menyucikan diri? #


Peranan dan hikmah zikir sungguh besar dan luas sekali, sehingga ia boleh menyucikan diri seseorang. dan hasil dari penyucian (muhasabah) itu pula membolehkan seseorang itu kenal diri dan Tuhannya. Tetapi bagaimanakah ia berperanan menyucikan diri? Apakah cukup hanya setakat menyebut dan ingatkan diri kepada Allah, maka diri kita terus suci dan dapat berfungsi menjadi sebuah cermin untuk tilikan? Seperti mana serbuk penyuci berfungsi membersihkan kotoran kain baju. Begitukah?


Kalau setakat sebut sahaja atau ingat, maka diri terus menjadi suci, maka alangkah mudahnya zikir itu? Ia nampak semudah mengupas kulit pisang sahaja. Ataupun semudah serbuk penyuci menyentalkan kotoran di kain baju. Ternyata peranan penyucian zikir ke atas hati itu bukan seperti itu. Ia tidak semudah yang disangkakan.


Peranan zikir dan penyucian kepada hati, mesti melalui proses tertentu. Ada kaedah dan juga cara atau sistem tersendiri. Seperti juga usaha kita untuk melahirkan zuriat yang cerdas dan pintar, ada kaedah dan teknik persetubuhan tertentu dan amalan-amalan yang harus dilakukan.


Untuk memahami dengan cara mudah peranan zikir itu bolehlah kita huraikan begini, apabila kita sebut sesuatu kalimah zikir maka kita akan ingat dan tanamkan maknanya ke dalam hati. Misalnya kita sebut "Subhanallah" iaitu Maha Suci Allah, maka kita hayati dalam diri kita yang Allah itu adalah Zat yang suci. Kesucian itu tidak ada tolak banding dengannya. Maka kita harus bertindak dengan akal dan fizikal, bahawa yang suci adalah Allah semata-mata, tidak ada yang lain. Segala unsur syirik yang bersarang secara diam dan tersembunyi hendaklah disingkirkan dari menjadi warga hati kita dan kurungkan Allah semata-mata dalam diri.


Kalau kita menyebut "Allah Hu Akbar" Allah yang agung, maka keagungan itu kita masukkan ke dalam diri kita. Kita tanamkan bahawa yang agung hanya Allah dan tidak ada yang lain. Baik diri kita ataupun kuasa lain. Justeru itu kita harus komitkan (iltizam) diri kita kepada keagunganNya sahaja.


Dengan cara itulah baru wujud penyucian. Penyucian di sini bermaksud, dengan mengingatkan segala sifat Allah itu, seperti Ar-rahman. Al-Rahim, Al-Latiff dan sebagainya. dan menyuci diri itu bermakna menyucikan diri/hati kita daripada syirik, kufur, munafik dan kafir kepada Allah. Suci ialah apabila mematuhi dan kenal denganNya.


Ingat, selagi kita masih syirik, kufur, munafik dan kafir serta memiliki sifat-sifat mazmumah yang mutlak masih belum tercapai lagi. Apabila hati kita tidak didindingi oleh segala elemen-elemen itu baharulah ia bersih dan menjadi sekeping cermin khuwah yang memungkinkan kita kasyaf dan dapat melihat apa-apa yang ghaib.


Demikianlah secara ringkas dahulu mengenai peranan zikir membersihkan hati dan diri insan. Ingin saya berpesan, bahawa zikir yang sebenarnya bukan sahaja setakat menyebut kalimah-kalimah ataupun pengucapan tertentu sahaja. Kalau setakat sebut sahaja ia tidak menjadi. Yang penting menghayati kemudian seterusnya bertindak dengan fizikal dan akal terhadap pengertian apa yang disebut itu.


Kalau setakat berzikir ia tidak menjamin kebersihan hati dan diri seseorang. Malahan perbuatan itu tidak lebih daripada sia-sia sahaja. Sebab itu kalau kita perhatikan ada ahli zikir yang perangainya tidak pernah berubah. Kalau dulu di pembohong, penipu, maka kini pun dia penipu dan pembohong, walau pun dia sudah mengerjakan zikir beratus juta kali. Kalau dulu dia mencuri dan mencaci, kini pun setelah berzikir sampai juta-juta kali, dia tetap juga dengan perangainya, mencaci orang itu dan orang ini. Itulah tanda zikir orang itu zikir pada lahir sahaja tetapi tidak meresap atau "jelira" ke dalam diri batinnya.


Dalam pada itu kalimah zikir bukan terbatas kepada "asma' ul'husna" yang 99 atau kalimah-kalimah pujian yang melulu sahaja. Malahan apa saja kalimah yang terbetik di hati dan terdengar dibibir ia merupakan "Asma'" Allah dan boleh dijadikan kalimah zikir. Pokok pangkalnya pengertian dan niat itu sahaja yang dikira.


FirmanNya.......


"Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), dengan sebanyak-banyaknya (bermacam-macam sebutan)."


Al-Ahzab 41


Sebaik-baik amalan itu elok pada Syariat, tepat pada Hakikat, kena pada Tariqat dan sampai pada Makrifat.


Wallah hu ta'ala a'lam.......


0 comments: