Friday, November 19, 2010

Permasalahan tentang Korban

Posted by lianazulak On 10:16 AM No comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Bismillahir Rahmanir Rahim. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wataala kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita masih dikurniakan nikmat Islam dan Iman sehingga sekarang. Sudah sekian lama ana tidak mengangkat pena untuk berkongsi ilmu yang diperolehi. Disebabkan sekarang kita baru sahaja habis menyambut perayaan Aidil Adha, ana ingin berkongsi cerita apa yang ana perolehi pada bulan yang mulia ini iaitu bulan Zulhijjah.


Empat hari sebelum menyambut Aidil Adha, ana tidur di rumah Johor di Mandarah untuk berkongsi ilmu tentang hukum Korban. Pada masa yang sama sahabat-sahabat serumah ana semuanya pergi menyertai Seminar Ibadah Pesakit iaitu mengenai Pebidanan dan Sakit Puan. Pada mulanya ana ingin mengikuti seminar tersebut, akan tetapi ana sudah berjanji dengan kakak dirosat jadi lebih baik kita menunaikan janji.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak sempurna iman barangsiapa yang tidak amanah dan tidak sempurna agama barangsiapa yang tidak menunaikan janji.” (Riwayat Ahmad)


Apa yang kami perbincangkan masih banyak perkara yang kita tidak tahu dan dari situ kita berkongsi ilmu dengan membuat perbincangan dalam satu kumpulan. Ana pada tahun ini mengambil 1 bahagian daripada seekor unta untuk dibuat korban manakala 2 bahagian untuk ayah dan ibu ana, jadi walaupun kami ialah pelajar medic kami perlu juga mempelajari hukum korban agar kami lebih menghayati apa erti korban itu dalam persektif Islam. Ana sarankan belajar hendaklah berguru walaupun kita belajar melalui kitab-kitab yang sahih dengan ilmunya kerana;


"Siapa menuntut ilmu tanpa guru maka dia menuntut

ilmu dengan syaitan".


Baiklah ana teruskan permasalahan yang kami bincangkan pada waktu itu:

1. Apakah hukum melaksanakan ibadah korban? Ada yang kata wajib ada yang kata sunat muakkad?

Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya wajib, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai sunnah.



Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah wajib berdasarkan firman Allah;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)



Sabda Rasulullah SAW;
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)



Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan sunnah adalah berpandukan hadis Nabi SAW;
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)



Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;
“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Dar al-Qutniy)



Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.



Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka. (Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)



Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).



Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan. Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;



“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)



Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.



Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.



Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi terlah berkorban bagi pihak umatnya.



Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.



Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.



2. Kenapa ia dipanggil sebagai korban?

Bahasa : Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari Raya Adha.



Dinamakan juga sebagai ‘Udhiyyah’ yang berasal daripada perkataan ‘Dhuha’ iaitu waktu Dhuha, kira-kira antara jam 7.00 hingga 11 pagi, kerana korban disyariatkan oleh Allah SWT supaya dilaksanakan setelah selesai Solat Eidul Adha.



Ada juga yang mengatakan ianya berasal daripada perkataan Al-Udhiyyah dan Ad-Dhahiyyah yang dimaksudkan binatang sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan untuk mentaqarrubkan diri kepada Allah.



Syarak : Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Eidul Fitri dan Eidul Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.


3. Kenapa Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya?

sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)


4. Kenapa disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban?

Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.” (Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)



5. Macam mana sebenarnya nak bahagi daging-daging korban ni?

1. Terdapat dua pandangan


i . Jumhur Fuqahak (Mazhab Hanafi, Malikiy dan Hambali)


Menurut Mazhab Hanafi, harus memakan daging korban yang disunatkan, manakala korban nazar atau korban wajib diharamkan untuk memakannya.


Menurut Mazhab Malikiy dan Hambali pula memakan daging korban nazar dibolehkan sama seperti korban sunnah dan disunatkan supaya mencampurkan kedua-dua korban tersebut sama ada untuk dimakan, disedekahkan dan dijadikan sebagai hadiah. Namun begitu mereka menghukumkan makruh sekiranya kita memakan atau menyimpan kesemua daging tersebut melebihi tiga hari.



2. Mengikut amalan sunnah (terutama Mazhab Hanafi dan Hambali) dalam pembahagian daging korban ialah 1/3 untuk diri dan keluarga, 1/3 untuk kaum kerabat, teman-teman, jiran tetangga walaupun mereka terdiri daripada golongan kaya, manakala 1/3 untuk golongan fakir dan miskin. Kenyataan ini berdasarkan firman Allah;
“ Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lain) berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang sengsara lagi fakir.” (Surah Al-Haj : Ayat 28)


FirmanNya lagi;
Dan berilah makan kepada orang yang redha dengan apa yang ada pada dirinya (orang yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta-minta.” (Surah Al-Haj: ayat 36)


Namun begitu, sekiranya disedekahkan ke semuanya kepada orang lain, terutama fakir miskin, maka dianggap lebih baik dan sempurna. Walau bagaimanapun digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarganya sebagai ‘Tabarruk’ (mengambil bekat dari ibadah korban tersebut).


Tambahan : Menurut Mazhab daging korban juga boleh diberikan kepada orang-orang yang bukan Islam, terutama mereka yang diharapkan akan memeluk agama Islam, selepas pemberian tersebut, untuk menunjukkan kebaikan dan pengiktirafan Islam kepada mereka sebagai manusia.



6. Kalau kita lihat, sebelum raya haji masyarakat Arab sudah sembelih banyak haiwan. Apa yang mereka buat sebenarnya?

Ada beberapa golongan masyarakat yang melakukan kesilapan dengan melakukan ibadah korban pada malam hari raya. Amalan ini tidak menepati sunnah dan sekiranya dilakukan juga, sembelihan tersebut tidak dikira sebagai ‘Ibadah Korban’, kerana para ulamak mengaggap perbuatan tersebut sebagai ‘Makruh’.


Tetapi dalam hal diatas, masyarakat Arab sangat menyambut dan suka akan Raya Aidil Adha berbanding perayaan lain. Jadi mereka mencampur daging korban sedikit dan daging sembelihan biasa untuk dibuat jamuan untuk menyambut hari yang mulia tersebut.


7. Ada tak dalil mengenai kelebihan korban ni?

i. DALIL AL-QURAN

Firman allah;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)

ii. DALIL HADIS MENGENAI KELEBIHAN KORBAN

(Lihat nas al-Quran Surah al-Haj : Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”
Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”
Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

36-37)

iii. DALIL IJMA’ ULAMAK

Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;
“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.” (Surah As-Soffaat : ayat 107)

8. Sebenarnya yang mana lebih afdal satu bahagian unta atau seekor kambing?

Adalah afdhal dibuat korban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.

Berkorban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.

Berkorban dengan seekor kambing itu pula lebihafdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

9. Apakah kecacatan yang tidak diharuskan diperbuatkan korban?

Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama'yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam:
"4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".

Daripada hadith di aras Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:

1. Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.

2. Gila

3. Berkudis walaupun sedikit.

4. Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.

5. Tersangat kurus.

6. Buta sebelah mata atau kedua-duanya.

7. Berpenyakit

8. Tersangat tempang

10. Jika kami sudah bernazar untuk korban binatang yang sudah kecacatan?

Jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.

Akan bersambung………….

Sumber:

1. Al-Quran dan terjemahannya

2. Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuha : Dr. Wahbah Az-Zuhailiy

3. Fiq As-Sunnah : Syeikh Sabiq

4. Tarbiyatul Aulad : Dr. Abdullah Nasih Ulwan

5. Al-Fiqh al-Islamiy : Haji Sulaiman Rasyid

6. Tuntutan Qurban : Prof. Dr. T.M Hasbi As-Siddiqiy

7. Hukum Qurban dan Sembelihan : Kiyai Haji Abdurrahman


0 comments: