Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Bismillahir Rahmanir Rahim. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wataala kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita masih dikurniakan nikmat Islam dan Iman sehingga sekarang. Ana sudah berjanji untuk menyambung lagi tentang isu korban.
1. Bagaimana dengan kepala dan kulit binatang sembelihan? Jika beri tukang penyembelih sebagai upah boleh ke?
Haram ke atas orang yang terkorban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :
"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)
Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.
Masih ada amalan di mana daging yang telah dikorbankan dibahagi kepada tujuh bahagian, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala, bahagian rusuk, batang pinang, kulit) diperuntukkan atau dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Tindakan ini sama sekali tidak dibenarkan, kerana setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh dijadikan sebagi upah. Sekiranya kita masih ingin memberikan upah kepada tukang sembelih, pihak yang berkongsi korban, boleh membayar lebih sedikit daripada harga sebenar binatang korban dan menyerahkan lebihan wang tersebut kepada tukang sembelih.
Tetapi jika fakir miskin yang menerima sedekah daging itu menjualnya kepada orang Islam, maka adalah harus dan sah hukumnya. Akan tetapi jika daging korban yang diberi kepada orang kaya sebagai hadiah lalu dijualnya, maka hukumnya adalah haram.
2. Apakah fadhilat ibadah korban?
1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (bapa para nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.
2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang ytercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.
Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:
"Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)
3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.
Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
"Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".
4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;
“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”(Surah al-Haj : ayat 32)
Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:
"Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)
5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.
6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:
"Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.
8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.
3. Jika buat korban untuk arwah ibu atau ayah adakah dibenarkan?
Adalah tidak sah berbuat korban bagi orang yang masih hidup melainkan dengan izinnya(hukumnya menjadi wajib jika arwah bernazar semasa dia hidup), dan begitulah juga orang yang telah meninggal dunia jika ia tidak berwasiat, tetapi harus bagi bapa atau nenek membuat korban dengan hartanya bagi anak atau cucunya.
4. Bagaimana pula jika buat korban diluar kawasan? Contohnya saya di mesir tetapi buat korban di Malaysia?
Pelaksanaan korban sama saja dimana-mana negara Islam, kerana kita sama-sama mengikut syariat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Jika anda berhasrat ingin berkorban di negara lain juga dibolehkan asalkan kita yakin bahawa fakir miskin di tempat kita telah mendapat bahagian korban ataupun di tempat kita tidak ada lagi orang miskin atau orang yang layak untuk menerima korban tersebut.
Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Daging korban tidak boleh dipindah ke negara lain, ia hendaklah disedekahkan di negara tempat ia berkorban itu sahaja.
5. Boleh ke memberi daging yang sudah dimasak kepada fakir miskin?
Perlu diingat juga bahawa bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah dan tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu berupa kulit, hati, tanduk dan seumpamanya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak, kemudian dihidangkan kepada orang yang fakir dan miskin, kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah dimasak.
6. Bolehkah orang kafir diberikan daging korban?
Matlamat dan tujuan kita dianjurkan berkorban adalah jelas, antara lain mensyukuri nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan sepanjang tahun tersebut, dan memberikan orang lain sama-sama merasa nikmat Allah S.W.T, di samping merapatkan lagi ukhuwwah sesama umat. Oleh itu pemberian daging korban kepada orang yang bukan Islam tidak bercanggah dengan mana-mana tujuan korban itu dianjurkan, maka mengikut pandangan mazhab Hanbali adalah dibenarkan kita memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang bukan Islam, tetapi daging korban wajib tidak boleh kita berikan kepada orang bukan Islam.
7. Apakah jenis-jenis ibadah korban?
1. Korban sunat, iaitu menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T. pada Hari Raya Eidhul Adha atau Hari Raya Haji.
2. Korban nazar, apabila seseorang bernazar untuk menyembelih korban, maka wajiblah atasnya menunaikan nazarnya itu.
Akan bersambung.....
Wallahu a’lam....
0 comments:
Post a Comment