Kata-kata hikmah ini telah difahami oleh kebanyakan orang yang menceburi dunia tasawuf dalam bentuk yang salah. Akibatnya wujud gambaran buruk terhadap kehidupan yang diutarakan oleh Islam di kalangan masyarajat Islam. Pemahaman ini seterusnya telah mendatangkan kesan yang begitu bahaya terhadap pelaksanaan hak Allah, pembangunan dan juga tamadun Islam secara umum. Sesetangah orang memahami kata-kata hikmah ini dengan makna “Wahai orang Islam hendaklah anda tidak mengatur untuk hidup anda sesuatupun.” Akibatnya sesetengah dari kalangan mereka memahami yang dikatakan kesempurnaan itu ialah anda tidak mengatur langsung sesuatu untuk diri anda, sebaliknya kekurangan itu ialah apabila anda mengatur sesuatu berhubung dengan masa hadapan anda. Ini bermakna menurut golongan ini yang dikatakan kesempurnaan itulah ialah anda meninggalkan segala perkara tanpa sebarang peraturan dan sistem yang mengawalnya. Ini pada asasnya adalah bertentangan dengan peraturan dengan taklif Ilahi. Kata-kata hikmah ini tidak bermaksud demikian.
Pada asalnya orang Islam dituntut mengukuhkan pentadbiran terhadap sesuatu yang ditaklifkan oleh syarak ke atasnya. Kerana itu terdapat Hadith yang menjelaskan:
Asal pentadbiran(mengatur diri) ialah menekuni amalan. Apabila anda mengkaji kehidupan Rasulullah SAW, anda akan mendapati kehidupan baginda dipenuhi dengan rangkaian pengukuhan pentadbiran baik dari segi sudut ilmu pengetahuan, pendidikan, politik mahupun dari sudut ketenteraan. Anda tidak akan mendapati di dalam kehidupan baginda sesuatu aktiviti yang tidak disertakan dengan pengukuhan pentadbiran. Begitu jugadi dalam kehidupan para sahabat baginda SAW. Mereka mengukuhkan pentadbiran di dalam setiap aktiviti yang ditaklifkan kepada mereka. Dengan ini dapatlah difahami, pada asalnya pengukuhan pentadbiran dan pengurusan adalah diperlukan di dalam setiap aktiviti yang kita ditaklifkan kita melakukannya. Pengukuhan pentadbiran memerlukan kepada system pengurusan di dalam kehidupan orang-orang Islam. Pengabaian mana-mana aspek pengurusan menyebabkan tidak wujud pengukuhan pentadbiran. Apabila pengukuhan pentadbiran tidak wujud urusan dunia mahupun akhirat tidak akan berjalan dengan baik. Jika kehidupan manusia baik kehidupan peribadi, keluarga, sosial mahupun dakwah, tidak dikukuhkan dengan pentadbiran yang sistematik, yang termasuk di dalamnya pengukuhan pengurusan, sudah tentu membantut segala sesuatu yang telah dirancang dan membengkalaikan banyak perkara.
Adakah anda menjangkakan dunia mampu mencapai kemajuan besar pada hari ini, jika tidak wujud pngukuhan pentadbiran dari satu sudut dan sistem pengurusan yang cekap dari satu sudut yang lain. Sudah tentu dunia tidak mampu mencapai kemajuan besar pada hari ini, kalau tidak ada perancangan yang rapid an pengurusan yang cekap. Orang yang mengenal Islam tidak mungkin sama sekali terlintas di dalam hati sanubarinya, meninggalkan pentadbiran adalah merupakan asas di dalam Islam atau satu bentuk kesempurnaan. Tidak mungkin terlintas di dalam hatinya meninggalkan pentadbiran itu adalah asas yang ditekankan oleh Islam.
Kedudukan orang-orang yang benar(al-Siddiqin) di dalam melakukan beramal, bukanlah meninggalkan tadbir, sebaliknya menumpukan pemikiran kepada sejenis tadbir dan meninggalkan sejenis tadbir yang lain. Orang yang benar berurusan dalam semua perkara, atas dasar perkara tersebut merupakan sebahagian daripada taklif ilahi. Seterusnya kehidupan tertumpu kepada melaksanakan taklif ilahi tersebut. Anda perlu menggantikan pentadbiran yang berdasarkan nafsu anda, kepada pentadbiran berbentuk melaksanakan taklif ilahi ke atas diri anda.
Seorang yang pergi ke pasar untuk mengatur urusan kehidupan duniawinya, tetapi dalam masa yang sama lalai dari mengingati Allah ketika mengadakan urusan tersebut, orang ini dikatakan sebagai orang yang mengatur kehidupannya untuk tujuan duniawi yang diharuskan. Sebaliknya orang yang benar, bekerja di pasar dalam keadaan melihat pekerjaan yang dilakukannya itu sebagai taklif ilahi yang perlu dilaksanakan olehnya. Allah SWT mentaklifkan supaya menyara diri dan juga keluarganya. Kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh orang-orang Islamm pada dasarnya adalah merealisasikan kewajipan melaksanakan fardu kifayah. Doktor misalnya melaksanakan kewajipan fardu kifayah. Terdapat perbezaan antara seorang doktor yang pergi ke kliniknya dengan hanya satu tujuan sahaja iaitu untuk memperolehi wang bagi menambahkan lagi jumlah wang yang sedia ada di dalam simpanannya, dengan seorang doktor yang menganggap penglibatannya di dalam profesion perubatan di kliniknya, sebagai melaksanakan taklif ilahi yang berbentuk fardu kifayah. Orang-orang yang benar bertindak lebih dari yang dilakukan oleh doktor yang pertama tadi. Di dalam mana-mana tindakan dan aktiviti yang mereka lakukan, mereka mempunyai banyak niat dan bukannya mempunyai satu niat sahaja.
Manusia terdiri daripada beberapa jenis. Ada yang bekerja tanpa sebarang niat. Ada yang bekerja dengan niat untuk mendapatkan habuan duniawi dan ada juga yang bekerja untuk mendapat habuan ukhrawi. Pendek kata manusia melakukan satu amalan, tetapi niatnya di dalam melakukan amalan tersebut, berbagai-bagai.
Orang-orang yang benar membuat satu kerja, tetapi mempunyai berbagai-bagai niat yangbaik di dalamnya. Ibn al-Haj Rahimahullah pernah menceritakan satu peristiwa di dalam kitabnya al-Madkhal : Seorang ulama duduk bersama anak-anak muridnya, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk oleh seseorang. Salah seorang muridnya ingin bangun dan membuka pintu tersebut, tetapi syeikh tersebut menegah anak muridnya itu membuka pintu, sebaliknya beliau sendiri bangun membukanya. Setelah itu syeikh tersebut menjelaskan kepada muridnya sebab-sebab kenapa beliau menegah muridnya itu dari membuka pintu. Syeikh menyatakan kepada muridnya, “Ketika anda bangun untuk membuka pintu tadi, berapa niat yang ada di dalam hati anda?”. Lalu muridnya menyebut beberapa niat dan tujuan ia ingin membuka pintu itu. Jawab syeikh, “Sebaliknya saya berniat lebih banyak daripada anda ketika membuka pintu tadi. Saya berniat untuk ini dan ini.” Beliau menyebut niatnya itu.
Terdapat perbezaan antara seorang yang membuka pintu rumahnya sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang ramai, dengan seorang yang membuka pintu rumahnya tetapi berniat jika ada orang yang dizalimi memerlukan bantuan, ia akan membantu orang itu. Jika didatangi oleh orang yang memerlukan sesuatu bantuan, ia akan memenuhi hajatnya. Jika ia dikunjungi oleh orang kelaparan, ia akan memberi makan kepadanya. Orang ini meniatkan berbagai-bagai niat di dalam gerak kerjanya yang dilakukannya dan ia diberi pahala di atas niat-niat yang dilakukan, sebagai melaksanakan taklif ilahi dari satu aspek dari satu aspek yang lain pula, ingin supaya dalam satu-satu amalan yang mereka lakukan, mereka mempunyai berbagai-bagai niat yang baik.
Dalam isu-isu seperti ini mesti wujud tadbir. Tadbir orang-orang yang benar tertumpu kepada menjadikan semua amalan yang mereka lakukan sebagai melaksanakan taklif kepada menjadikan semua amalan yang mereka lakukan sebagai melaksanakan taklif ilahi dan di dalam satu-satu amalan, mereka mempunyai banyak niat yang baik.
Seolah-olah inilah makna yang dikehendaki oleh Syeikh Ibn Ata’illah dengan kata-kata hikmah beliau di atas. Terdapat segolongan manusia yang tidak mentadbir kecuali untuk memenuhi keperluan duniawi mereka sahaja. Mereka mentadbir untuk mengekalkan kesihatan, mendapatkan makanan, minuman dan juga rezeki. Tadbir jenis ini adalah tadbir yang harus. Syeikh tidak pernah menegah kita dari melakukan tadbir seperti ini, kerana jelas tadbir ini dapat menegakkan urusan kehidupan manusia. Adalah suatu yang tidak diterima akal, jika syeikh menginginkan kita agar tidak melakukan tadbir bagi menegakkan urusan kehidupan kita, sebaliknyan beliau ingin menjelaskan bahawa manusia sebenarnya merupakan insan yang telah dijamin rezeki dan kehidupan mereka. Sehubungan itu, jika anda tidak menumpuka tadbir kepada isu-isu yang telah dijamin kepada anda, jadikanlah tadbir anda kepada sesuatu yang dituntut anda melakukannya.
Wallahua’lam
*Jika terdapat persoalan, perlu rujuk dengan mana-mana ustaz/ustazah untuk menjawab persoalan anda.
0 comments:
Post a Comment