Sunday, February 27, 2011

Kisah 5 perkara Aneh

Posted by lianazulak On 2:59 AM

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-


1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."


Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." 



Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. 



Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu,  mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." 


Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. 



Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,

1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.


Bulu Mata Sebagai Saksi

Posted by lianazulak On 2:24 AM


Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia utk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah,


“Tidak demi langit dan bumi,sungguh tidak benar. saya tak pernah malakukan perkara itu…”


“Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa”


Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada. Kemudian dia pun menyanggah, “mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”


Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”


Tiba-tiba mata berbicara,“Saya yang memandang,”


disusuli dengan telinga,“Saya yang mendengar perkara itu”


Hidung pun tidak ketinggalan,“Saya yang mencium”


Bibir pun mengaku dengan slumbernye,“Saya yang merayu”


Lidah menambah dengan berani,“Saya yang menjilat dan menghisap”


Tangan tanpa malu meneruskan,“Saya yang meraba dan meramas”


Kaki pula menyusul,“Saya yang berjalan dan berlari semasa itu”


“Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu,” ujar malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam.. Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, ” Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.”


Malaikat menjawab dengan tenang,“Silakan wahai bulu mata”



“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seorang hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga:




“Lihatlah hamba Allah ini masuk syurga kerana pertolongan bulu mata.., maka perbanyakkanlah kita dengan bertaubat dan tangisilah dosa-dosa yang telah kita lakukan dengan air......janganlah kita berputus asa dengan Rahmat Allah....sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Wednesday, February 9, 2011

Maksiat

Posted by lianazulak On 10:19 PM



Ketahui olehmu bahawasanya tiada atas orang yang Tholib (iaitu orang yang menuntut kehampiran dengan Allah) yang memberi mudharat (kemusnahan) akan dia terlebih daripada redhanya daripada nafsunya. Dan adalah demikian itu jalan yang menjauhkan dan memutuskan daripada Allah,

seperti kata Sheikh Ibni Athai'llah As-Sakandari RA:
"Bermula asal tiap-tiap maksiat dan ghaflah (lalai) dan syahwat itu redha daripada nafsunya dan asal tiap-tiap taat dan jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redho daripada nafsu".

Bermula asal tiap-tiap maksiat dan ghaflah dan syahwat itu redha daripada nafsu kerana redha itu menutup ia akan aib (jahat) nafsu dan menegahkan ia daripada nazhor(tilik) kepada Haq Taala dalam segala ahwal dan asal tiap-tiap taat itu ialah jaga akan ibadat dan memelihara dirinya itu ketiadaan redha daripadamu daripada nafsu.

Bermula redha daripada nafsu itu asal sekelian maksiat yang mazmumah dan ketiadaan redha daripadanya itu asal sekelian sifat yang mahmudah kerana bahawasanya seorang hamba itu apabila redha ia daripada nafsunya; maka dilihatnya segala perbuatan itu dalam baik dan dalam sempurna.

Melalui kalam hikmah ini...kita akan dapat mengenalpasti akan punca dan asal daripada segala sifat-sifat buruk yang ada pada seseorang. Jika diselidiki, memang banyaklah pelakuan maksiat dan kejahatan yang dilakukan oleh seorang hamba hasil daripada kuatnya desakan dan tarikan nafsu syahwat.

1.Semasa makan, hamba buat buat maksiat kerana mengikut nafsu dan selera mereka untuk bersedap-sedap dengan hidangan lauk-pauk yang lazat hinggakan melemahkan anggota dan hati untuk beribadat kepada Allah.

2.Semasa tidur, seorang hamba juga buat maksiat kerana mengikut nafsu syahwatnya untuk tidur di atas tilam yang empuk sehinggakan susah untuk Qiyamullail dan mungkin tertakhir sembahyang subuh hingga mata hari terbit.

3.Semasa bercakap dan berbincang dengan kawan-kawan, seorang hamba banyak melakukan dosa dan maksiat kerana mengikut nafsunya yang suka bercakap mengenai sesuatu yang menyebabkan mereka banyak ketawa atau memperkatakan sesuatu perkara yang haram seperti mengumpat dan menghina orang lain.

4.Semasa beribadat hamba banyak juga buat dosa dan maksiat kerana mengikut telunjuk nafsu syahwat dan redha dengannya untuk;
* mentakhirkannya tanpa kelulusan syarak
* mencampurkannya dengan riya
* menyemaikan benih-benih ujub
* mengharapkan kemulian dan balasan
* dipandang kita banyak buat ibadat berbanding orang lain
* menagih sesuatu keistimewaan dari amalan atau wirid yang dikerjakan
* dan banyak lagi maksiat-maksiat sama ada yang zhohir atau tersembunyi.

Semuanya adalah kerana redhonya hamha dengan keinginannya yang jahat-jahat tetapi didatangkan dalam wajah yang baik sehinggakan sesuatu yang
* jahat dianggap baik
* salah dianggap betul
* menipu dianggap benar
* kurang disangkakan sempurna
* berlebih-lebihan dikatakan sekadar mencukupi
* malas dikatakan rajin
* fitnah dikatakan sebagai maklumat
* bidaah dikatakan ikut sunnah
* tergelincir dianggap berada pada landasan yang betul
* dosa dianggap pahala

Dan berbagai-bagai lagi dari sesuatu yang batil tetapi dianggap yang sebenar lantaran cenderungnya dan sebatinya hamba dengan sifat-sifat mazmumah yang tercela lagi merosakkan. Dengan sebab itulah pada kalam hikmah di atas dengan kata-katanya seperti berikut:

Dan telah Ittifak (muafakat) atas segala orang yang arif dari segala orang yang mempunyai Istibsor Qulub (mata hati) bahawasanya redha daripada nafsu itu mewajibkan menutup segala aib nafsu dan segala kejahatan dan jadilah jahatnya....baik...

Maka barangsiapa mengikut nafsunya dan tiada menegahkan hawanya [tuju hatinya] nescaya adalah rugi dunianya dan akhiratnya. Dan barangsiapa menyalah nafsunya dan menegahkan hawanya daripada menyampaikan qasadnya, nescaya syurga tempatnya.

Syurga yang dimaksudkan di sini ialah syurga yang kekal abadi dalam akhirat nanti. Di samping itu juga mengikut pandangan ahli tasauf, ada satu lagi syurga yang disegerakan di dunia ini dan dianugerahkan kepada hamba-hamba Allah yang mematikan dirinya(nafsu syahwat dan sifat (Keakuan diri). Mereka telah bebas dari kurungan hawa nafsu ini akan diberikan "Jannatul 'Ajila" yang bermaksud hidup ruh dan jiwanya dengan sentiasa musyahadah akan Tuhannya mengikut maqam-maqam yang ditentukan buatnya. Demikianlah kurnia Allah Taala untuk mereka yang berjuang ke arah jalanNya dengan cara mematikan diri..

Sebaliknya hambanya yang sentiasa menjadikan hamba nafsu sebagai Tuhannya dengan berlazat-lazat dan bersenang-senang dengan perhiasan dunia tidak akan dapat merasa keuntungan dan kelebihannya di dunia ini dan di akhirat nanti. Di dunia mereka buta dan di akhirat lebih-lebih lagi. Tidak hairanlah mereka memakai pakaian-pakaian ego, hipokrit, tamak, bermuka-muka dan sebagainya kerana sentiasa meredhoi hawa nafsunya.

Mereka adalah golongan yang rugi dunia dan rugi di akhirat.
Syeikh Abu Hassan Syazali RA. pernah berkata: "Barangsiapa mati dan tiada bersungguh-sungguh dalam belajar ilmu kami (Ilmu Tasauf) maka matinya dia pada hal masih mengekali dosa-dosa besar".

Kata setengah ahli sufiah" barangsiapa mengintai akan Tuhannya dan segala Kothrohnya [lintasan hatinya] nescaya dipeliharakannya dalam segala harkahnya [gerak-gerinya].

Mengintai atau disebut juga sebagai Muraqabah mengikut istilah Sufiah membawa maksud mata hati yang sentiasa memerhatikan:
* Perbuatan dirinya adakah berlandaskan ilmu fekah(syariat) atau taqlid membuta.?
* Perkataannya adakah memberi manfaat dan mudhorat kepada dirinya atau orang lain atau semata-mata lagha (sia-sia) sahaja ?
* Pandangan hati(jiwa)nya sentiasa ingin melihat akan Keesaan dan Keagungan Allah sama ada dalam perbuatan (Afa'al Allah), sifat-sifat Allah atau Zat Allah dalam tiap-tiap sesuatu yang melintasi pandangan mata hatinya.

Dengan adanya sifat-sifat hati yang sentiasa mengawasi setiap gerek-gerinya, nescaya hamba tersebut akan terpelihara daripada terjerumus kepada maksiat zahir dan batin pada setiap harkahnya(gerak-gerinya).

Dan adalah redha daripada segala nafsu dan ketiadaan redha itu jadi daripada bersahabat dengan segala orang yang baik dan orang yang jahat kerana bahawasanya seseorang itu atas agama kekasihnya.

Maka kerana demikian itulah: kata Sheikh Ibni Athai'llah As-Sakandari RA:
"Bahawasanya bersahabat engkau dengan orang yang jahil yang tiada redha dengan nafsu terlebih baik daripada bersahabat engkau dengan orang yang Alim yang redha ia dengan nafsunya".

Wallahu Ta'ala A'lam

Tuesday, January 25, 2011

Siapakah Wanita Berpurdah itu?

Posted by lianazulak On 10:16 AM


Kisah teladan.
Suatu kisah...Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.
Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.
"Adakah wanita itu orang gila?"Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.
Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh," kata wanita itu lagi.


"Namaku DUNIA. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku, sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.

Tiupan Sangkakala?

Posted by lianazulak On 9:56 AM

 
Bayangkan bagi hatimu wahai yang terpedaya,
hari kiamat dan segala isinya bergegar.

Sungguh digulung matahari siang dan dilipat gandakan,
panasnya atas kepala hamba menggelegak.

Apabila gunung-ganang tercabut dari tempatnya,
lalu kamu melihatnya berjalan seperti awan.


Apabila bintang-bintang berguguran dan bertaburan,
dan setelah cahaya bertukar menjadi keruh.

Apabila unta-unta bunting terbiar dari tuannya,
rumah-rumah kosong tidak ada penghuninya.

Apabila binatang-binatang liar dihimpun pada hari kiamat,
dan berkata kepada malaikat kemana kami berjalan.

Lalu dikatakan berjalanlah kamu menyaksikan keaiban,
keajaiban-keajaiban dan perkara-perkara dihadirkan.

Apabila keluar dari perut ibunya,
takutkan hisab dan hatinya ketakutan.

Ini tanpa dosa yang ditakutkan kegawatannya,
bagaimana orang yang mengerjakan dosa sepanjang masa?

Sunday, January 23, 2011

"Dalam Merenung Kita Bermuhasabah"

Posted by lianazulak On 9:16 PM

Dalam hidup ni adakalanya kita terasa terpinggir dan disisihkan...tapi sebenarnya tidak. Kita tidak pernah pun dipinggirkan dalam hidup ini....

Yakin dan Percayalah,                        
Saban waktu pasti ada seseorang mengingati anda sebelum dia tidur...Tak siapa yang tahu, boleh jadi dia itu orang yang anda sayang....tapi mungkin juga orang yang anda tak pernah kenal tapi dia kenal anda...
Kalau anda rasa dipinggirkan....

Yakin dan Percayalah,
Sekurang-kurangnya ada seseorang di dunia ini yang tetap menyayangi anda dan sanggup mati kerana anda walaupun ketika ini anda merasakan tiada sesiapa lagi bersama anda.

Yakin dan Percayalah,
Apabila seseorang itu ada asas agama yang kukuh, hidupnya akan selamat dan berjaya walau di mana saja ia berada...Walau di mana saja ia berada, pasti dia akan dihormati kerana kemuliaan peribadinya. Makin tinggi seseorang tu dalam ilmu agama, makin indah peribadi dan akhlaknya.

Yakin dan Percayalah,
Hidup ini bermakna apabila ada kasih sayang dan kebahagiaan. Kebahagiaan tu ada dalam diri anda sendiri....Anda mesti boleh dapatkannya kerana kebahagiaan tu sudah ada dlm diri anda, cuma anda perlu menerokainya.

Yakin dan Percayalah,
Sewaktu anda sakit, pasti akan ada seseorang mendo'akan anda supaya anda cepat sembuh walaupun anda tidak tahu siapa orang tu dan walaupun do'a itu disampaikan dari jauh.....Sewaktu anda bersedih, pasti akan ada orang yang mengharapkan anda kembali ceria seperti dahulu.......walaupun anda langsung tak menyedarinya...


Percayalah,
Ada 3 golongan yang dibenci Allah:
1.Apabila ada ilmu, ia sombong dengan ilmunya
2.Apabila ada ulama', ia tidak memuliakannya
3.Apabila ada kawan yang baik, ditinggalkannya lalu dipilihnya kawan yang buruk akhlaknya.


Percayalah,
Ada 3 tanda iman seseorang tu bercahaya:
1.Tidak takut celaan orang ketika berdakwah dan melakukan kebajikan
2.Tidak lalai beribadat kepadaNya walaupun dalam senang atau susah
3.Antara dunia dan akhirat,lebih dipilihnya akhirat.


Yakin dan Percayalah,
Antara orang yang dicintai Allah dan tidak dicintai Allah, ada bezanya....Allah akan memberi dunia dan kesempurnaan iman utk hambaNya yg DIA cinta agar tidak lalai....tetapi Allah hanya memberi dunia dan tidak memberi kesempurnaan iman kepada hambaNya yang tidak dicintaiNya..


Yakin dan Percayalah,
Anda tidak pernah dipinggirkan........cuba lihat bintang di langit waktu malam.....Anda pasti merasainya.....Cuba lihat matahari terbenam di waktu senja.......Anda pasti merasainya...kadang-kadang kita perlu bersendirian.....untuk mencari ketenangan dan memuhasabahkan diri bagi meneruskan perjuangan kita sebagai hambaNya....