Wednesday, May 4, 2011

Sajak MengenaliMu, Ya Allah

Posted by lianazulak On 8:08 AM




Mengenali-Mu, ya Allah
Rasa-rasanya makin merindu
Yakin-itu sudah tidak pernah
Aku tanyakan pada diriku
Kepada kalbuku
Kerana sejak aku tahu
Mengenal kehidupan
Ketika masih belum mengaji
Mukadam dan al-Quran
Aku sudah diberi kenal
Ada bintang
Ada bulan
Ada matahari
Dan awan
Ada yang menjadikan;
Begitu aku terasa
Tanpa bertanya
Aku ingin makin mendalam
Sudah kuterima kenyataan
Bahawa alam jagat dan
Seluruh mahluk ini
Ada yang menjadikan
Ciptaan-Mu, Tuhan
Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Berulang-ulang
Dalam hidupku diberi nafas
Berterusan menghayati nikmat
Makan minum dan tidur berehat
Maka dadaku penuh mengingati
Nama-Mu sentiasa
Di bibir
Dan degup jantungku
Sentiasa mengingati-Mu
Adalah tandaku
Dalam ikatan-Mu
Maka apabila aku diberi hayat
Di alam jagat-Mu
Bergerak, bekerja
Mencari makan dan
Bergaul dengan insan
Insan dan umat-Mu
Nama-Mu terasa terus
Menjadi sebutan
Degup hatiku;
Dan apa
Dan bagaimana
Dan di mana
Aku berada
Aku sentiasa dikurniai
Inayah-Mu, ya Allah
Maka aku sentiasa mengingati-Mu
Maka dalam bersorak
Bergerak dan berteriak
Untuk apa
Untuk bagaimana
Aku tiba-tiba saja
Seperti digerak
Oleh satu kuasa
Menyentuh dalam kalbuku:
Maka aku menjadi terkelu
Mati teriak sorakku
Kerana nafasku
Terasa tinggal satu, satu.
Maka tahu aku, ya Allah
Lonjak dan sorak
Gelak dan teriak
Bisa sekali lenyap
Dalam satu helaan nafas:
Ketika dalam kealpaan
Menghayati dalam kefanaan.
Masuri S.N.
( Mimpi Panjang Seorang Penyair )


Tuesday, April 26, 2011

Pentadbiran Duniawi Dan Ukhrawi

Posted by lianazulak On 11:56 PM



Kata-kata hikmah ini telah difahami oleh kebanyakan orang yang menceburi dunia tasawuf dalam bentuk yang salah. Akibatnya wujud gambaran buruk terhadap kehidupan yang diutarakan oleh Islam di kalangan masyarajat Islam. Pemahaman ini seterusnya telah mendatangkan kesan yang begitu bahaya terhadap pelaksanaan hak Allah, pembangunan dan juga tamadun Islam secara umum. Sesetangah orang memahami kata-kata hikmah ini dengan makna Wahai orang Islam hendaklah anda tidak mengatur untuk hidup anda sesuatupun.” Akibatnya sesetengah dari kalangan mereka memahami yang dikatakan kesempurnaan itu ialah anda tidak mengatur langsung sesuatu untuk diri anda, sebaliknya kekurangan itu ialah apabila anda mengatur sesuatu berhubung dengan masa hadapan anda. Ini bermakna menurut golongan ini yang dikatakan kesempurnaan itulah ialah anda meninggalkan segala perkara tanpa sebarang peraturan dan sistem yang mengawalnya. Ini pada asasnya adalah bertentangan dengan peraturan dengan taklif Ilahi. Kata-kata hikmah ini tidak bermaksud demikian.

Pada asalnya orang Islam dituntut mengukuhkan pentadbiran terhadap sesuatu yang ditaklifkan oleh syarak ke atasnya. Kerana itu terdapat Hadith yang menjelaskan:




Asal pentadbiran(mengatur diri) ialah menekuni amalan. Apabila anda mengkaji kehidupan Rasulullah SAW, anda akan mendapati kehidupan baginda dipenuhi dengan rangkaian pengukuhan pentadbiran baik dari segi sudut ilmu pengetahuan, pendidikan, politik mahupun dari sudut ketenteraan. Anda tidak akan mendapati di dalam kehidupan baginda sesuatu aktiviti yang tidak disertakan dengan pengukuhan pentadbiran. Begitu jugadi dalam kehidupan para sahabat baginda SAW. Mereka mengukuhkan pentadbiran di dalam setiap aktiviti yang ditaklifkan kepada mereka. Dengan ini dapatlah difahami, pada asalnya pengukuhan pentadbiran dan pengurusan adalah diperlukan di dalam setiap aktiviti yang kita ditaklifkan kita melakukannya. Pengukuhan pentadbiran memerlukan kepada system pengurusan di dalam kehidupan orang-orang Islam. Pengabaian mana-mana aspek pengurusan menyebabkan tidak wujud pengukuhan pentadbiran. Apabila pengukuhan pentadbiran tidak wujud urusan dunia mahupun akhirat tidak akan berjalan dengan baik. Jika kehidupan manusia baik kehidupan peribadi, keluarga, sosial mahupun dakwah, tidak dikukuhkan dengan pentadbiran yang sistematik, yang termasuk di dalamnya pengukuhan pengurusan, sudah tentu membantut segala sesuatu yang telah dirancang dan membengkalaikan banyak perkara.

Adakah anda menjangkakan dunia mampu mencapai kemajuan besar pada hari ini, jika tidak wujud pngukuhan pentadbiran dari satu sudut dan sistem pengurusan yang cekap dari satu sudut yang lain. Sudah tentu dunia tidak mampu mencapai kemajuan besar pada hari ini, kalau tidak ada perancangan yang rapid an pengurusan yang cekap. Orang yang mengenal Islam tidak mungkin sama sekali terlintas di dalam hati sanubarinya, meninggalkan pentadbiran adalah merupakan asas di dalam Islam atau satu bentuk kesempurnaan. Tidak mungkin terlintas di dalam hatinya meninggalkan pentadbiran itu adalah asas yang ditekankan oleh Islam.

Kedudukan orang-orang yang benar(al-Siddiqin) di dalam melakukan beramal, bukanlah meninggalkan tadbir, sebaliknya menumpukan pemikiran kepada sejenis tadbir dan meninggalkan sejenis tadbir yang lain. Orang yang benar berurusan dalam semua perkara, atas dasar perkara tersebut merupakan sebahagian daripada taklif ilahi. Seterusnya kehidupan tertumpu kepada melaksanakan taklif ilahi tersebut. Anda perlu menggantikan pentadbiran yang berdasarkan nafsu anda, kepada pentadbiran berbentuk melaksanakan taklif ilahi ke atas diri anda.

Seorang yang pergi ke pasar untuk mengatur urusan kehidupan duniawinya, tetapi dalam masa yang sama lalai dari mengingati Allah ketika mengadakan urusan tersebut, orang ini dikatakan sebagai orang yang mengatur kehidupannya untuk tujuan duniawi yang diharuskan. Sebaliknya orang yang benar, bekerja di pasar dalam keadaan melihat pekerjaan yang dilakukannya itu sebagai taklif ilahi yang perlu dilaksanakan olehnya. Allah SWT mentaklifkan supaya menyara diri dan juga keluarganya. Kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh orang-orang Islamm pada dasarnya adalah merealisasikan kewajipan melaksanakan fardu kifayah. Doktor misalnya melaksanakan kewajipan fardu kifayah. Terdapat perbezaan antara seorang doktor yang pergi ke kliniknya dengan hanya satu tujuan sahaja iaitu untuk memperolehi wang bagi menambahkan lagi jumlah wang yang sedia ada di dalam simpanannya, dengan seorang doktor yang menganggap penglibatannya di dalam profesion perubatan di kliniknya, sebagai melaksanakan taklif ilahi yang berbentuk fardu kifayah. Orang-orang yang benar bertindak lebih dari yang dilakukan oleh doktor yang pertama tadi. Di dalam mana-mana tindakan dan aktiviti yang mereka lakukan, mereka mempunyai banyak niat dan bukannya mempunyai satu niat sahaja.

Manusia terdiri daripada beberapa jenis. Ada yang bekerja tanpa sebarang niat. Ada yang bekerja dengan niat untuk mendapatkan habuan duniawi  dan ada juga yang bekerja untuk mendapat habuan ukhrawi. Pendek kata manusia melakukan satu amalan, tetapi niatnya di dalam melakukan amalan tersebut, berbagai-bagai.

Orang-orang yang benar membuat satu kerja, tetapi mempunyai berbagai-bagai niat yangbaik di dalamnya. Ibn al-Haj Rahimahullah pernah menceritakan satu peristiwa di dalam kitabnya al-Madkhal : Seorang ulama duduk bersama anak-anak muridnya, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk oleh seseorang. Salah seorang muridnya ingin bangun dan membuka pintu tersebut, tetapi syeikh tersebut menegah anak muridnya itu membuka pintu, sebaliknya beliau sendiri bangun membukanya. Setelah itu syeikh tersebut menjelaskan kepada muridnya sebab-sebab kenapa beliau menegah muridnya itu dari membuka pintu. Syeikh menyatakan kepada muridnya, “Ketika anda bangun untuk membuka pintu tadi, berapa niat yang ada di dalam hati anda?”. Lalu muridnya menyebut beberapa niat dan tujuan ia ingin membuka pintu itu. Jawab syeikh, “Sebaliknya saya berniat lebih banyak daripada anda ketika membuka pintu tadi. Saya berniat untuk ini dan ini.” Beliau  menyebut niatnya itu.

Terdapat perbezaan antara seorang yang membuka pintu rumahnya sebagaimana yang biasa dilakukan oleh orang ramai, dengan seorang yang membuka pintu rumahnya tetapi berniat jika ada orang yang dizalimi memerlukan bantuan, ia akan membantu orang itu. Jika didatangi oleh orang yang memerlukan sesuatu bantuan, ia akan memenuhi hajatnya. Jika ia dikunjungi oleh orang kelaparan, ia akan memberi makan kepadanya. Orang ini meniatkan berbagai-bagai niat di dalam gerak kerjanya yang dilakukannya dan ia diberi pahala di atas niat-niat yang dilakukan, sebagai melaksanakan taklif ilahi dari satu aspek dari satu aspek yang lain pula, ingin supaya dalam satu-satu amalan yang mereka lakukan, mereka mempunyai berbagai-bagai niat yang baik.

Dalam isu-isu seperti ini mesti wujud tadbir. Tadbir orang-orang yang benar tertumpu kepada menjadikan semua amalan yang mereka lakukan sebagai melaksanakan taklif kepada menjadikan semua amalan yang mereka lakukan sebagai melaksanakan taklif ilahi dan di dalam satu-satu amalan, mereka mempunyai banyak niat yang baik.

Seolah-olah inilah makna yang dikehendaki oleh Syeikh Ibn Ata’illah dengan kata-kata hikmah beliau di atas. Terdapat segolongan manusia yang tidak mentadbir kecuali untuk memenuhi keperluan duniawi mereka sahaja. Mereka mentadbir untuk mengekalkan kesihatan, mendapatkan makanan, minuman dan juga rezeki. Tadbir jenis ini adalah tadbir yang harus. Syeikh tidak pernah menegah kita dari melakukan tadbir seperti ini, kerana jelas tadbir ini dapat menegakkan urusan kehidupan manusia. Adalah suatu yang tidak diterima akal, jika syeikh menginginkan kita agar tidak melakukan tadbir bagi menegakkan urusan kehidupan kita, sebaliknyan beliau ingin menjelaskan bahawa manusia sebenarnya merupakan insan yang telah dijamin rezeki dan kehidupan mereka. Sehubungan itu, jika anda tidak menumpuka tadbir kepada isu-isu yang telah dijamin kepada anda, jadikanlah tadbir anda kepada sesuatu yang dituntut anda melakukannya.

Wallahua’lam

*Jika terdapat persoalan, perlu rujuk dengan mana-mana ustaz/ustazah untuk menjawab persoalan anda.

Wednesday, April 13, 2011

Sajak Cintaku Pada Kekasih Allah

Posted by lianazulak On 7:11 AM







Ucapan selawat serta salam ku ucapkan padamu
Kuhadiahkan doa dan pujian setinggi keimananmu
Kepadamu yang agong
Hanyalah untukmu kekasih Allah.

Malu untuk aku mengatakan cinta kepadamu
Kerana aku hanyalah insan yang biasa
Sedangkan engkau adalah insan yang mulia
Rinduku padamu sudah tidak terkata lagi
Rinduku pada wajahmu yang berseri
Rinduku pada keimananmu yang agong
Rinduku padamu kekasih Allah.

Ku ikuti ajaranmu semampu tenagaku
Ku amalkan sunnahmu sedaya upayaku
Ku tinggalkan laranganmu semahu hatiku
Untuk mendapat berkat di dunia
Dan beroleh syafaat darimu di akhirat sana
Kupujuk jua hati dan jiwaku
Untuk meluahkan rasa cintaku pada keimananmu.

Kerana aku sudah terpesona pada ketaqwaanmu
Kerana aku sudah jatuh cinta pada keimananmu
Sesungguhnya cinta kepadamu adalah maksud cinta kepada Allah.

Karya Rabiatul Adawiyah, Selangor Darul Ehsan

Thursday, March 31, 2011

Waspada Dengan Tipu Daya Syaitan

Posted by lianazulak On 2:46 AM



Adab orang-orang yang benar bersama dengan Allah ialah apabila mereka ingin sesuatu, mereka mengangkat keinginan kepada Allah melalui lisan hal dan lisan iftiqar(ucapan-ucapan yang menunjukkan pergantungan diri kepada Allah). Mereka menyerah kepada Allah untuk mengeluarkan diri satu keadaan kepada satu keadaan   yang lain, dari keadaan tidak tenang kepada keadaan yang membuatkan mereka tenang berada di dalamnya atau terhadapnya. Mereka tidak gelojoh dan inilah tahap yang paling sempurna. Ikutan mereka ialah Rasulullah SAW.

Ibn Ubbad menjelaskan persoalan Tajrid dan berpegang dengan sebab musabbab ini seperti dibawah:
Tanda Allah menempatkan seseorang itu pada maqam sebab musabbab ialah sebab musabbab itu kekal pada dirinya dan terhasil kepadanya buah dan natijah, Misalnya dia memperolehi keselamatan pada agama,tidak tamak kepada apa yang ada pada orang lain, mempunyai niat yang ikhlas ketika menghubungkan tali silaturrahim dengan orang lain, membantu orang yang memerlukan bantuan dan lain-lain faedah yang berkaitan dengan agama.

Tanda Allah SWT menempatkan seseorang pada maqam Tajrid ialah sebagaimana yang telah disebutkan tadi iaitu hasil dan natijahnya berkekalan,masanya berjalan lancar dengan baik, hatinya suci dan rasa rehat apabila bergaul dan berinteraksi dengan makhluk.

Anda perlu memahami antara strategi serangan musuh (syaitan) terhadap diri anada ialah dia menyerang berdasarkan kedudukan yang Allah tempatkan anda padanya. Musuh akan memperkecilkan kedudukan yang sedang anda nikmati itu, dengan mendorong anda supaya menuntut sesuatu yang Allah SWY tidak tempatkan anda padanya. Ia berusaha menwas-waskan hati anda dan mengeruhkan masa anda. Musuh datang menemui orang-orang yang berada maqam sebab musabbab lalu berkata kepada mereka. "Sekiranya anda meninggalkan maqam sebab musabbab dan anda menumpukan kepada Tajrid, anda akan disinari oleh cahaya dan akan suci hati dan mata hati anda. Inilah yang pernah berlaku kepada pulan bin pulan" Padahalnya dia masih belum sesuai dengan maqam Tajrid, malah ia tidak mampu untuk berada pada maqam tersebut. Kesesuaiannya ialah berada di maqam sebab musabbab. Apabila meninggalkan maqam yang sedang didudukinya,akan bergoncanglah keimanannya, hilanglah keyakinannya dan seterusnya ia akan menumpukan permintaan makhluk dan menumpukan aktiviti mencari rezeki. Akibatnya aktiviti tersebut mwnghumbangkannya ke dalam lautan pemutusan hubungan dengan Allah.

Itulah maksud musuh terhadap anda, kerana ia datang kepada anda dalam bentuk orang penasihat sebagaimana dia pernah datang menemui kedua moyang anda (Adam dan Hawa) sepertimana Allah SWT berfirman:


Begitu juga syaitan datang menemui orang-orang yang berada pada maqam Tajrid lalu berkata kepada mereka: Sampai bilakah anda sanggup meninggalkan sebab musabbab. Tidakkah anda ketahui meninggalkan sebab musabbab menyebabkan hati melonjak-lonjak untuk memperolehi apa yang ada di tangan manusia, membuka pintu ketamakan, menyebabkan tidak dapat memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya, tidak dapat mengutamakan orang lain dari diri sendiri dan menyekat anda dari melaksanakan hak-hak yang diwajibkan ke atas anda. Anda pula akan luput dari apa yang anda nanti-nantikan daripada makhluk, berbanding dengan pembukaan yang anda nanti-nantikan daripada Allah yang anda sendiri tidak pasti bila ia datang. Sekiranya anda memasuki alam sebab musabbab, orang lain pula akan menunggu-nunggu limpahan pembukaan yang dibukakan kepada anda itu, untuk dimanfaatkan oleh mereka. Sehubungan dengan itu, hamba Allah yang berada pada maqam Tajrid yang sudahpun merasa lapang masanya, luas cahayanya da menemui kerehatan dengan memutuskan hubungan dengan makhluk itu, akan kembali semula selepas itu kepada maqam sebab musabbab. Apabila ia kembali semula pada maqam sebab musabbab, sudah tentu ia ditimpa kekeruhan dan kegelapannya. Walau bagaimanapun keadaannya pada masa itu adalah lebih baik, berbanding dia berusaha berada dalam maqam sebab-sebab tanpa kehendak Allah. Ini kerana ia tidak pernah menempuh satu jalan menuju kepada Allah kemudian meninggalkan semula jalan tersebut dan tidak pernah menempuh satu tujuan kemudian ia berpatah balik ke belakang.


Sebenarnya tujuan syaitan berbuat demikian adalah supaya hamba-hamba Allah gagal memperolehi keredaan daripada Allah pada kedudukan yang sedang mereka tempuhi. seterusnya mengeluarkan mereka dari pilihan Allah kepada olihan mereka yang berasaskan kepada dorongan nafsu mereka sendiri. Sebaliknya jika Allah yang memasukkan anda did alam satu-satu maqam, Allah SWT sendiri akan memberikan pertolongan kepada anda sepanjang anda berada pada maqam tersebut. Jika anda sendiri yang memasuki maqam tersebut, Allah SWT akan membiarkan anda berurusan dengan diri anda sendiri.

Tempat masuk yang benar ialah tempat yang anda masuk ke dalamnya bukan dengan nafsu anda. Begitu juga dengan tempat keluar yang benar iaitu bukan tempat yang anda keluar daripadanya berdasarkan kehendak nafsu anda sendiri. Tuntuan yang sepatutnya anda ikuti ialah anda tetap berada pada maqam yang ditetapkan oleh Allah untuk anda, sehinggalah Allah SWT sendiri mengeluarkan anda dari maqam tersebut, sebagaimana sebelumnya Ia sendiri membantu memasukkan anda ke dalamnya. Inilah kedudukan orang-orang siddiqin. Mereka tidak keluar dari melakukan sesuatu yang harus sehingga Allah SWT sendiri yang mengeluarkan mereka dari keadaan tersebut.


Wallahu a'lam.

Wednesday, March 30, 2011

Keinginan Terhadap Duniawi dan Akhrawi

Posted by lianazulak On 12:14 AM


Seseorang yang meletakkan kaki di jalan menuju kepada Allah Azza Wajalla, pada kebiasaannya akan timbul oada dirinya sejenis keinginan iaitu keinginan untuk meninggalkan sebab  musabbab atau meninggalkan amalan duniawi yang sedang diceburinya. Anda dapati perkara ini berlaku pada beberapa golongan manusia seperti orang yang zuhud, pendakwah dan juga orang alim. Apabila golongan yang disebutkan ini semua meletakkan kakinya di jalan Alla Azza Wajalla biasanya akan timbul pada diri mereka sejenis perasaan ingin meninggalkan segala bentuk amalan duniawi bagi membolehkan mereka menumpukan sepenuhnya kepada amalan-amalan Akhirat yang sedang mereka ceburi.

Syeikh Ibn Ata'illah ingin memberi peringatan kepada kita berhubung keinginan seumpama ini yang kadang-kadang muncul disebabkan oleh kesan hawa nafsu dan bukan kesan dari keinginan yang ikhlas kepada Akhirat. Ketika mana kita meletakkan kaki di jalan menuju Allah tanpa mengira siapa kita, samaada kita merupakan ahli ibadah, orang yang zuhud, pendakwah, ulama atau orang yang ingin pertolongan dan bimbingan, Syeikh memberi amaran kepada kita supaya kita tidak meletakkan kaki di jalan menuju kepada Allah, kerana hawa nafsu yang tersembunyi di dalam diri kita sendiri. Misalnya keinginan untuk berehat atas alasan berdakwah kepada Allah Azza Wajalla, menuntut ilmu mengajar dan menumpukan sepenuh masa kepada ibadah, sedangkan dorongan yang sebenar melakukan semua perkara ini, adalah kerana hawa nafsu.
Sehubungan dengan itu Syeikh Ibn Ata'illah menyatakan:

"Keinginan untuk tajrid, padahal Allah menempatkan anda pada sebab adalah termasuk ke dalam syahwat yang tersembunyi. Sebaliknya keinginan anda terhadap sebab , padahal Allah menempatkan anda pada tajrid bererti gugur dari cita-cita murni."

Yang mendorongan Syeikh Ibn Ata'illah mengemukan kata-kata hikmah ini ialah pengalaman peribadi yang dilalui oleh beliau. Pada peringkat renaja beliau bertugas di beberapa buah kolej agama. Beliau menyibukkan diri menghasilkan ilmu daripada buku-buka dan mengajar masyarakat. Setelah beliau berkenalan dengan Syeikh Abu al-Abas al-Mursi dan berulang-alik di dalam majlisnya, timbul di dalam dirinya perasaan ingin meninggalkan aktiviti menghasilkan ilmu dan mengajar yang dilakukan oleh beliau, bagi membolehkan beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah. Beliau menyakini jalan yang menyampaikannya kepada Allah tidak akan terelisasi dengan menyibukkan diri dengan sebab-sebab bergaul dengan mayarakat. Walau bagaimanapun al-Imam Abu al-Abbas telah memberi perangsang kepada beliau dengan menyatakan: Tetaplah anda di tempat di mana anada berada sekarang. Apa saja bahagian yang dibahagikan kepada anda melalui tangan kami, ia akan sampai kepada anda. Itulah kedudukan orang-orang yang sangat benar ( al-Siddiqin). Mereka tidak keluar dari sesuatu sotuasi sehingga Allah SWT jua yang mengeluarkan mereka dari situasi tersebut. Setelah Syeikh Ibn Ata'illah menemui kerehatan di dalan menyerahan diri kepada Allah. Abu al-Abbas menyatakan kepadanya: Beriltizamlah anda dengan apa yang anda perolehi, kerana sekiranya anda beriltizam dengan apa yang perolehi, anda akan menjadi mufti pada dua jalan iaitu jalan ilmu zahir dan jallan ilmu batin. Berita baik yang disampaikan oleh Syeikh Abu al-Abbas menjadi kenyataan. Ibn Ata'illah menjadi iman kepada dua jalan tersebut. eliau terus mengajar di Universiti al-Azhar dan dalamm masa yang sama juga merupakan salah seorang wali Allah sehingga berjaya menjadi khaliah yang menggantikan Abu al-Abbaz al-Mursi dan Abu al-Hassal al-Syazili.

Ibn Ata'illah adalah merupakan orang yang bertanggungjawab mencatat di dalam karangan beliau risalah dan ilmu-ilmu yang dicurahkan oleh kedua tokoh tersebut. Abu Abbas menegah Ibn Ata'illah dari meninggalkan duniawi dan berpindah ke maqam tajrid kerana perbuatan beliau itu adalah sebab pilihan beliau sendiri dan pilihan tersebut lebih didorong oleh keinginan hawa nafsu yang melonjak-lonjak. Memang nafsu inginkan kepada sesuatu perkara, perkara itu akan menjadi ringan kepadnya, sedangkan dia sendiri tidak dapat memastikan adakah maqam tajrid yang ia hendak berpindah kepadanya itu, akan mendatangkan kebaikan kepadanya atau sebaliknya. Yang mengetahui perkara yang sebenar hanyalah Allah. Pilihan manusia terhadap diri sendiri, adalah satu bentuk ketundukan kepada hawa nafsu syahwatnya sendiri dan syahwat ini adalah satu perkara yang tersembunyi, kerana pada zahirnya ia menzahirkan tumpuan kepada Allah dan menjauhkan diri kepada masyarakat, tetapi pada batinnya ia menyembunyikan keinginan ingin rehat dari bekerja dan mendapat pujian daripada orang ramai kononnya ia adalah wali Allah yang mana tidak ada seorangpun yang mengetahuinya melainkan Allah.

Maksud tajrid di sini ialah memutuskan hubungan dengan amalan-amalan duniawi. Syeikh Ibn Ata'illah berpendapat ketika mana Allah menempatkan anda pada maqam sebab musabbab, tetapi anda pula begitu ingin sekali berada pada maqam tajrid, menunjukkan keinginan anda itu adalah datang dari keinginan syahwat yang tersembunyi di dalam diri anda sendiri. Sewajarnya anda tetap kekal berada pada maqamsebab musabbab itu, sehinggalah Allah Azza Wajalla mengeluarkan anda daripadanya. Misalnya anda mencari pekerjaan duniawi ke sana ke mari, tetapi anda tidak memperolehinya atau anda tidak memperolehi punca-puncanya atau anda memperolehi punca-puncanya, tetapi abda di halau keluar dari punca-punca itu oleh orang yang berebut mendapatkannya atau punca-punca itu datang kepada anda tanpa kehendak anda sendiri, dikala itu anda akan dapati diri anda terpaksa bersendirian, kerana keadaan memaksa anda bersikap demikian. Inilah yang dikatakan sejenis tajrid yang tidak terdapat sebarang campurtangan nafsu di dalamnya, kerana Allah SWT sendiri yang menempatkan anda pada maqam ini.

Syeikh Ibn Ata'illah menarik perhatian kita kepada peri pentingnya adab dalam beramal. Bagi beliau apabila Allah menempatkan kita pada maqam sebab musabbab, kita hendaklah kekal berada pada maqam tersebut. Apa saja perkara yang mampu kita lakukan di lapangan ilmu, berdakwah dan beribadah, hendaklah kita lakukan, tetapi jangan sesekali kita cuba meninggalkan maqam tersebut. Sebaliknya jika masalah yang berlaku itu terkeluar dari kehendak kita sendiri, hendaklah kita bersama dengan kehendak itu. Kadang-kadang Allah SWT menahan sebab musabbab daripada diri kita dan kita dapati ia terputus dari kita, di kala itu dikatakan kita telah berada pada maqam tajrid. Kadang-kadang tajrid itu datang kepada kita dari arah yang kita sendiri tidak mampu menolaknya. Misalnya keadaan memerlukan anda memutuskan hubungan dengan sebab musabbab bagi menumpukan perhatian kepada ibadah samaada ibadah berbentuk fardu ain mahupun berbentuk fardu kifayah.

Individu yang ditempatkan oleh Allah pada maqam Tajrid tanpa keinginan dan kehendak daripadanya sendiri dan ditutup kepadanya pintu sebab musabbab duniawi, kemudian dibuka kepadanya jalan-jalan menuju ke Akhirat dalam bentuk menuntut ilmu, beribadah, berdakwah dan memberi khidmat kepada masyarakat umum yang merupakan jenis amalan akhirat yang paling tinggi sekali, inilah dinamakan sebagai tajarrud yang bersih, murni dan tidak diliputi oleh sebarang debu.

Persoalannya apabila Allah SWT menempatkan seseorang pada maqam ini, kemudian dia kembali berfikir kepada sebab-sebab musabbab duniawi, adakah pemikirannya ke arah itu dikira satu pemikiran yang sihat?

Ketika Rasulullah SAW berpindah ke Madinah kerana berhijrah ke sana dan bermulanya operasi jihad yang berterusan, para sahabat turut terlibat sama dalam operasi jihad ini. Akibatnya kepentingan mereka terganggu. Pengurusan kebun-kebun mereka terjejas. Satu ketika terlintas di dalam hati mereka untuk memikirkan kepentingan mereka yang terbengkalai oleh urusan jihad.


Apakah dia kebinasaan yang dilarang oleh Allah ke atas mereka di dalam ayat di atas? Kebinasaan yang dimaksudkan ialah mereka yang meninggalkan kedudukan yang telah ditempatkan oleh Allah kepada mereka iaitu urusan jihad, melakukan aktiviti amalan ukhrawi, berdakwah, menuntut ilmu, mengajar, memberikan perkhidmatan umum kepada manusia dan lain-lain.

Maqam yang paling tinggi apabila Allah menempatkan anda pada maqam Tajrid ialah anda kekal pada maqam tajrid itu dan anda tidak lagi berfikir kepada maqam kepada maqam sebab musabbab. Kenyataan ini sebenarnya tidak sesuai untuk umum, sebaliknya hanya sesuai untuk segolongan manusia sahaja iaitu golongan al-Siddiqin. Orang-orang awam tidak sesuai difokuskan kepada mereka perbicaraan seperti ini, kerana masih bercampur asuk pada mereka antara amalan duniawi dengan amalan ukhrawi. Sekiranya kita menuntut semua orang dengan satu bentuk tuntutan sahaja, sudah tentu akan rosak binasa kehidupan dunia.

Apabila ditegakkan maqam tajrid dan terbuka kepada anda sebab-sebab yang membolehkan anda terlihat di dalam dakwah, menuntut ilmu dan memberikan khidmat kepada masyarakat, namun anda pula terfikir untuk meninggalkan Tajrid dan kembali mengendalikan urusan-urusan kehidupan dunia, bermakna telah berlaku satu kesongsangan, keguguran dan penurunan tahap yang telah berjaya diperolehi oleh anda sebelum itu.

Keguguran dari martabat yang tingi berlaku dalam bentuk seseorang pasa asalnya berada pada maqam tajrid, tetapi selepas itu ia berusaha untuk turun kepada alam sebab musabbab semata-mata mengejar habuan dunia.

Gerak kerja dakwah bertujuan mengajak manusia kepada agama Allah, memerlukan kepada tumpuan sepenuhnya termasuklah memutuskan hubunga dengan perkara-perkara lain. Membimbing manusia kepada agama Allah memerlukan kepada tumpuan yang serius. Begitu juga dengan urusan mengajar masyarakat tentang agama Allah. Menekuni ke semua perkara yang disebutkan ini memerluka kepada tumpuan yang serius.

Sehubungan itu, apabila Allah menempatkan anda pada maqam ini, hendaklah anda tumpukan perhatian anda kepada melaksanakan hak-hak yang berkaitan dengannya dan jangan cuba memikirkan tentang urusan dunia. Sebaliknya, jika Allah menempatkan anda pada maqam sebab musabbab, janganlah meninggalkannya semata-mata kerana ingin menumpukan diri kepada kerja-kerja dakwah, mengajar dan lain-lain, kerana nanti anda akan kehilangan dunia dan juga Akhirat. Anda kehilangan dunia kerana meninggalkan amalan dan kehilangan Akhirat kerana niat tidak bersih.

Wallahu a'lam....

Sunday, March 27, 2011

Tanpa Bergantung Dengan Amalan Sendiri

Posted by lianazulak On 1:10 PM


Ada orang bersandar kepada amalnya untuk membolehkannya memasuki syurga atau selamat dari seksa Allah. Ada pula yang menyandarkan diri kepada amalannya untuk sampai kepada Allah dan menyingkap penutup hati. Menurut Syeikh Ibn Ata'illah keinginan kedua golongan ini adalah tercela, kerana timbul dari nafsu yang menganggap amalan itu datang dari diri sendiri, sehingga mengutamakan amalan tersebut unuk mencapai tujuannya. Sedangkan orang-orang yang arif tidaklah bersikap demikian. Mereka sama sekali tidak menganggap diri mereka mempunyai amalan, apalagi untuk bersandar kepadanya. Mereka berpendapat yang hakiki hanyalah Allah. Harapan kepada rahmat Allah bagi orang-orang arif ini tidaklah bertambah oleh sesuatu sebab dan tidak pula berkurang oleh sebab. Harap kepada rahmat Allah dan takut kepada azab Allah yang terdapat di dalam diri mereka sentiasa seimbang dalam setiap keadaan.

Orang Islam ditaklifkan melakukan berbagai-bagai amalan bagi mendapatkan keredaan Allah, tetapi di dalam masa yang sama ditaklifkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan itu, kerana walau bagaimana hebat sekalipun amalan yang dilakukannya, dia tetap tidak mampu menunaikan hak Allah Azza Wajalla dan hak bersyukur kepadaNya dalam ertikata yang sebenarnya[1].Firman Allah SWT:

Maksudnya:
"Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak nikmat Tuhannya".

1.Ini tidak membawa maksud kita tidak perlu beramal dengan amalan-amalan yang telah ditaklifkan oleh syarak seperti menunaikan solat, berzikir, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, bersedekah dan lain-lain, sebaliknya yang ditekankan oleh beliau di sini ialah tidak boleh bergantung ssepenuhnya kepada amalan-amalan yang dilakukan, bagi mendapatkan keredaan Allah, sebaliknya perlu juga mengambil kira rahmat Allah di dalam melakukan amalan tersebut,kerana tanpa rahmat Allah, kita tidak dapat melakukan amalan-amalan tersebut dengan jayanya. Contoh yang lain lebih mudah untuk difahami ialah seseorang yang ditimpa sesuatu penyakit disuruh berubat, tetapi dalam masa ia tidak disuruh bergantung sepenuhnya kepada ubat tersebut untuk menyembuhkan dirinya, kerana kuasa yang menyembuhkan sebenarnya ialah Allah SWT sahaja. Mengambil ubat itu hanyalah sebahagian dari langkah kita berusaha dan berikhtiar untuk mencari kesembuhan yang diperintahkan oleh syarak. Perbuatan tersebut terlalu bergantung kepada ubat tersebut adalah sejenis perbuatan syirik yang ditegah kita melakukannya.

Sehubungan dengan itu, dia ditaklifkan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukannya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Bersikap luruslah anda dan hampirkan diri kepada Allah dan ketahuilah tidak ada seorangpun dari kalangan anda yang akan memasuki syurga dengan amalan yang dilakukannya sahaja. Para sahabat bertanya: Adakah tuan juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan itu wahai Rasulullah?: Sabda baginda: Ya, saya juga tidak dapat memasuki syurga dengan amalan yang saya lakukan, walau bagaimanapun Allah SWT menganugerahkan kepada sya dengan keampunan dan rahmat daripadaNya." Hadith riwayat al-Sittah (enam orang ulama Hadith terkemuka)

Meninggalkan sikap bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan, mengandungi banyak hikmah dan mempunyai hubung kait dengan kefahaman tentang Allah dan pembersihan jiwa. Sikap bergantung sepenuhnya kepada amalan akan melahirkan perasaan penyakit ghurur (penyakit terpedaya dengan amalan yang dilakukan), ujub, menunjukkan kelebihan diri ke atas Allah dan buruk adab terhadapnNya. Selain itu, ia juga membuatkan seseorang merasakan Allah melaksanakan hak-hak tertentu terhadap dirinya. Ke semuanya ini adalah merbahaya dan perangkap syaitan belaka.

Oleh kerana bergantung sepenuhnya kepada amalan yang dilakukan, merupakan punca kesalahan dan perangkap syaitan, malah bertentangan dengan maqam al-Siddiqin ( orang-orang yang sangat benar), Syeikh Ibn Ata'illah memulakan rawatan penyakit ini dengan memberikan kepada kita satu tanda yang membolehkan kita mengenalinya.

Apakah tanda yang membuktikan samada kita bergantung seenuhnya kepada amalan yang kita lakukan atau bergantung kepada Allah? Sudah tentu Syeikh tidak menyatakan tinggalkanlah beramal, sebaliknya Syeikh terus mengalakkan kita beramal. Beliau ingin menarik perhatian kita kepada satu persoalan penting dimana melaluinya kita mengetahui adakah kita terlalu bergantung kepada rahmat Allah atau kepada amalan-amalan yang kita lakukan. Kerana itu, dalam setiap keadaan, orng Islam wajib megekalkan sepenuhnya kepercayaan kepada Allah dan tali hubungan ini hendaklah sentiasa meningkat dan berkembang.

Ketika anda dapati diri anda melakukan kesalahan dan akibat dari kesalahan tersebut, timbul perasaan kurang percaya dan kurang bergantung kepada Allah, membuktikan pada asasnya anda sebenarnya terlalu bergantung kepada amalan-amalan yang anda lakukan itu dan bukannya kepada Allah SWT.

Sekiranya kepercayaan dan harapan anda kepada rahmat Allah sempurna, sudah tentu setiap apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada harapan, kepercayaan dan tawakal anda itu. Apabila anda terjebak dengan ke dalam sesuatu kesalahan, anda tidak boleh berputus asa, kerana masih boleh bertaubat kepada Allah dan menaruh kepercayaan terhadap kesempurnaanNya. Walaupun dunia berubah, namun anda tetap kekal dengan kepercayaan dan tawakal anda kepada Allah dan hubungan ini perlu sentiasa dipertahankan.

Apabila berlaku perubahan akibat keruntuhan urusan-urusan dunia atau kelemahan sebab musabbab atau anda sendiri terjebak ke dalam satu-satu kesalahan atau maksiat, kemudian kurang harapan dan pergantungan anda kepada Allah, pada asasnya ada suatu kesalahan dan perkara yang tidak kena pada diri anda iaitulah terlalu bergantung kepada amalan yang anda lakukan dan bukannya bergantung kepada Allah. Di kala itu anda wajib menilik diri anda dan menguatkan semula hubungan anda dengan Allah, dalam semua aktiviti yang anda lakukan. Anda tidak boleh lupa untuk melaksanakan hak syariat di dalam taubah atau muhasabah atau berpegang dengan sebab musabbab.